Washington: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Louisiana, Amerika Syarikat (AS), meninggal dunia selepas dijangkiti ameba pemakan otak dalam peristiwa yang jarang berlaku semasa berenang di Tasik Claiborne.
Lillian Smart, dari Ruston, meninggal dunia pada Sabtu lalu, sehari selepas menyambut hari lahirnya, menurut keluarganya dalam hantaran Facebook di halaman ‘Love for Lillian’, lapor The Guardian.
“Kecederaan pada otaknya terlalu serius untuk tubuh kecilnya pulih. Semua orang melakukan sedaya upaya bagi memastikan dia terus bersama kami.
“Kami sangat kecewa dan sejujurnya tidak tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini. Bagaimana kami hendak meneruskan hidup tanpa anak perempuan kami?” kata keluarganya menerusi hantaran di Facebook.
Jabatan Kesihatan Louisiana mengesahkan pada 19 Ogos lalu, seorang penduduk negeri itu dijangkiti Naegleria Fowleri.
Katanya, pendedahan kepada amoeba berkemungkinan besar berlaku ketika individu itu berenang di Tasik Claiorne, Paroki Claiborne.
Rakan-rakan keluarga kemudian mengenal pasti Lillian sebagai individu yang dijangkiti, menurut laporan beberapa media tempatan.
Menurut laporan agensi berita KNOE, Lillian dimasukkan ke hospital sejak 15 Ogos lalu.
Ketika keluarganya berdepan dengan keadaan sukar itu, kebanyakan perniagaan di Ruston menunjukkan sokongan dengan menyumbangkan sebahagian daripada hasil jualan mereka kepada keluarga Smart, menurut halaman Facebook itu.
Jangkitan Naegleria Fowleri amat jarang berlaku dengan hanya beberapa kes dilaporkan di Louisiana sejak 2011 dan kebiasaannya membawa maut.
Ameba hidup subur di dalam air suam dan paling banyak ditemukan di negeri selatan AS ketika musim panas.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), kira-kira 180 kes dikenal pasti di AS sejak 1937.
Pada 2023, seorang kanak-kanak di Arkansas meninggal dunia selepas dijangkiti Naegleria Fowleri daripada kemudahan permainan air di sebuah kelab rekreasi di ibu negeri, Little Rock.
Naeglerif Fowleri boleh ditemukan dalam air tawar yang suam di seluruh AS, termasuk tasik, sungai dan kolam.
Ameba itu tidak ditemui dalam air masin atau kolam renang yang diselenggara dan diklorin dengan baik.
Pakar berkata, krisis iklim menyebabkan ameba muncul di beberapa kawasan di AS yang sebelum ini bukan habitat lazimnya, termasuk di bahagian utara dan barat negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd


