firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ubi muda negara terus menyerlah di peringkat antarabangsa apabila akademi Hira Football Akademi (Hira FA) muncul juara saingan Piala Remaja Antarabangsa Thailand yang berlangsung di Pattaya, bulan lalu.
Kejayaan itu hadir selepas wakil dari Malaysia itu menumbangkan pasukan OAZ dari Thailand di pentas final bagi kategori cup bawah sembilan (B-9) tahun itu.
Saingan setiap tahun itu turut disertai beberapa negara Asia lain seperti Jepun, Korea Selatan, China, Singapura, Kemboja, Filipina, Indonesia, Hong Kong dan Maldives.
Menurut pengurus pasukan, Wan Muazzir Abas, bukan mudah menjuarai kejohanan itu di mana ia adalah penampilan keempat di saingan itu selepas menyertai pada 2018, 2022 dan 2023 lalu.
Ujarnya, selain kejayaan manis dilakar pasukan B-9, akademi itu turut memenangi tempat ketiga dalam kategori B-12 (saingan cup) dan B-8 (saingan plate), sekali gus menghadirkan kepuasan tak terhingga buat pengurusan Hira FA.
“Kejohanan ini akan menjadi penyertaan tahunan dan dimasukkan dalam takwim Hira FA. Oleh itu, setiap tahun akan menjadikan pencapaian di luar negara sebagai penutup bagi pemain dalam membawa nama akademi dan khususnya Malaysia,” katanya.
Ujarnya lagi, pihaknya beri penekanan lebih dalam aspek pembangunan daripada soal pencapaian.
“Misi akademi ini adalah memastikan setiap pemain dibantu dalam membina potensi diri walaupun keupayaan yang berbeza.
“Sasaran misi ini lebih menekankan kepada pembangunan daripada pencapaian pemain. Bukan untuk menafikan pencapaian tetapi ianya perlu diletakkan pada masa dan keadaan yang sesuai. “Oleh itu, barulah kita akan berada di landasan yang betul untuk melahirkan pemain seperti Arif Aiman dan Luqman Hakim,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden kelab, Muhamad Al-Fateh Abdul Adzis dan jurulatih B-9, Haikal Mubarak Din dan Muhammad Hariz Zikri.
© New Straits Times Press (M) Bhd
