Pengarah filem terkenal kena scam

Pengarah filem terkenal kena scam

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah drama dan filem terkenal kerugian lebih RM8,000 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud melalui laman sosial Facebook.

Menurut sumber, pengarah berusia 50-an itu mengetahui tawaran pinjaman berkenaan sekitar Julai tahun lalu dan bertindak mengisi maklumat di pautan diberikan kerana tertarik.

“Dia kemudian dihubungi seorang lelaki mengaku sebagai ejen menerangkan pinjaman terbabit dan akan mengambil upah pengurusan.

“Mangsa kemudian bertemu dengan ejen terbabit di Rawang yang mendakwa pinjaman sudah diluluskan tetapi perlu membayar wang proses pinjaman,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat beberapa kali bayaran sehingga lebih RM8,000.

Bagaimanapun, katanya, mangsa menyedari terpedaya selepas wang pinjaman tidak diperoleh, malah suspek turut meminta bayaran penalti jika ingin membatalkan pinjaman itu.

“Susulan itu, pengarah drama dan filem itu tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan menerima laporan dibuat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top