Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lagi dianggap sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN) selepas Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hasrat untuk menubuhkan gabungan politik baharu.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan Perlembagaan PN, mana-mana parti yang memilih untuk menyertai atau membentuk gabungan lain secara automatik tidak lagi menjadi ahli gabungan itu.
“Dia (BERSATU) sudah membuat kenyataan hendak tubuh satu pasukan lain, dengan sendirinya automatik dia keluar daripada PN,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di Marang hari ini.
Foto arkib: FB Abdul Hadi Awang
Beliau turut menjelaskan PN tidak perlu mengeluarkan sebarang surat atau notis rasmi berhubung kedudukan BERSATU kerana perkara itu sudah diperuntukkan dalam perlembagaan gabungan tersebut.
“Saya tidak perlu surat rasmi. Perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, maka keluarlah,” ujarnya.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan mengumumkan BERSATU akan membentuk sebuah gabungan politik baharu yang disifatkannya lebih kukuh bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Foto: NSTP/AHMAD UKASYAH
Menurut beliau, gabungan berkenaan dijangka melibatkan beberapa parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
Sumber: Utusan Malaysia (Mohd Shariza Abdullah)




