am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Polis Kelantan menyerahkan siasatan lanjut terhadap seorang rakyat Malaysia yang ditahan atas kesalahan mengedar dadah kepada pihak berkuasa Thailand.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, maklumat yang diperoleh daripada polis Thailand memaklumkan dadah yang dirampas adalah untuk bekalan negara itu dan pihaknya sudah mengenal pasti pengedar utama yang berasal dari Pulau Pinang.
“Suspek adalah rakyat Kelantan dan kita sudah kenal pasti pengedar utama yang berasal dari Pulau Pinang, manakala teman wanitanya adalah rakyat Laos.
“Kita sudah pantau kemasukannya dari Malaysia ke Thailand iaitu melalui Kelantan dan setakat ini hasil (maklumat) dari (polis) Thailand menyatakan suspek hanya bekalkan dadah itu untuk Thailand,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kelantan (IPK) di sini, hari ini.
Semalam. media melaporkan polis Thailand menahan seorang lagi rakyat Malaysia berusia 24 tahun dipercayai pengedar bersama pelbagai dadah bernilai RM120,000 pada Isnin lalu.
Lelaki itu ditahan dalam serbuan di sebuah premis di pekan Sungai Golok pada 6.40 petang dan hasil serbuan itu, polis merampas 1,943 pil ekstasi, 1,510 eramin 5 dan serbuk dadah lain.
Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata, pihaknya memberi fokus utama untuk membanteras penyalahagunaan dadah di Kelantan susulan indeks jenayah sepanjang tahun lalu mencatatkan peningkatan berbanding 2023.
“Indeks jenayah untuk tahun lalu semuanya meningkat terutama kes pecah rumah dan curi kenderaan dan kajian yang dibuat menunjukkan jenayah yang dilakukan ini berkait dengan dadah.
“Penekanan saya untuk tahun ini adalah untuk kurangkan kadar jenayah dengan fokus jihad perangi dadah kerana sepanjang dua bulan bertugas di sini, saya sudah buat kajian bahawa dadah adalah punca utama jenayah.
“Bukan saja di Kelantan, tapi secara keseluruhannya, dadah masih lagi kekal menjadi musuh utama negara sejak berpuluh tahun lalu,” katanya.
Terdahulu, Mohd Yusoff hadir dalam perhimpunan bulanan dan menyampaikan surat penghargaan kepada 45 pegawai serta anggota polis di Kelantan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




