Sampai bila kami nak hadap lori mengundur, terkandas atas bukit

Sampai bila kami nak hadap lori mengundur, terkandas atas bukit

am@hmetro.com.my

Jerantut: Kekerapan kenderaan berat terkandas di Bukit Mentimun dan Bukit Atap di Jalan Jerantut-Kuala Tembeling, di sini, menyebabkan pengguna merayu supaya kerja menaik taraf laluan itu disegerakan.

Ini kerana, penduduk mendakwa kejadian seumpama itu akan menyebabkan laluan terhalang dan berlaku kesesakan lalu lintas di kedua-dua laluan akibat kecerunan bukit berkenaan yang tinggi.

Seorang pengguna, Abdullah Hassan, 52, berkata, kenderaan berat kerap gagal mendaki bukit berkenaan sehingga terkandas dan menghalang laluan.

“Setiap bulan berlaku tiga hingga empat kali kenderaan berat mengundur akibat gagal mendaki dan ini membahayakan keselamatan kenderaan kecil terutama yang mengekori terlalu dekat,” katanya ketika ditemui di Kuala Tembeling dekat sini.

Katanya, keadaan itu sudah dialami oleh pengguna jalan raya lebih 30 tahun lalu, dan terbaharu kejadian awal pagi hari ini membabitkan sebuah treler muatan sawit yang terkandas menyebabkan laluan di kedua-dua hala terhalang.

Sementara penduduk Kampung Mela, Lipis, Mohd Saferi Salleh, 43, berkata, kekerapan lori mengundur di kawasan itu mengganggu pengguna sejak sekian lama, kerana menjejaskan perjalanan.

“Kadang kala apabila berlaku kejadian seperti itu kebanyakan pekerja lewat tiba di pejabat.

“Sepatutnya kerajaan mengambil perhatian serius dengan menaik taraf jalan sama ada menarah bukit untuk mengurangkan kecuraman lereng atau membina jambatan seperti jejambat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top