sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menegaskan kejadian bumbung bocor akibat hujan lebat tidak akan berulang lagi sehingga tamat Terbuka Malaysia pada Ahad ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Iliyas Jamil berkata, sebaik sahaja perkara itu berlaku, pihak berwajib seperti PSM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) terus melakukan tindakan pantas untuk mengatasi kebocoran itu dan menggunakan kanvas untuk menghalang air daripada terus mengalir ke dalam gelanggang.
Beliau berkata, mereka sudah berbincang secara mendalam sebelum ini dengan pihak berwajib untuk memastikan Terbuka Malaysia tetap berjalan dengan lancar meskipun kerja baik pulih sedang dijalankan.
“Kebocoran itu kami sudah jumpa (punca utama) dan dalam proses untuk membetulkan serta memastikan kebocoran tidak akan berlaku sehingga memberi impak pada perlawanan malam ini termasuk pada esok dan hari seterusnya.
“Proses penukaran ini dilakukan oleh JKR dan mereka sudah melantik kontraktor sejak April tahun lalu sehingga sekarang. Malah perjalanan program atau acara setiap minggu sebelum ini berjalan dengan baik.
“Bumbung bocor sedikit, tapi kita boleh tutup dengan segera cuma entah kenapa hari ini (terjadi), saya ingat mungkin sebab hujan (lebat) dengan angin yang kuat petang tadi dan kami perlu membuat penutupan secara sementara dengan kanvas.
“Kami kena pastikan masalah ini tidak akan berulang lagi kerana kami bukan sahaja ada acara badminton, selepas ini akan ada acara lain.
“Jadi kami kena pastikan venue ini bersedia untuk semua acara akan datang,” katanya pada sidang media khas di Axiata Arena, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Acara (Operasi Pertandingan) Persekutuan Badminton Dunia (BWF), S Selvaamresh berkata, pihaknya akan pastikan pertandingan ini berjalan lancar dan tidak akan dilangsungkan sehingga lebih dari jam 1 pagi.
Ini kerana beliau bersama pihak BWF enggan perlawanan berlangsung sehingga lewat malam dan menghabiskan baki permainan semalam pada hari ini.
“Sekiranya gelanggang Dua bocor dengan teruk, kami akan pindahkan semua permainan ke gelanggang Satu dan Tiga. Jika itu yang berlaku, permainan pasti akan berlanjutan lebih lama.
“Bagaimanapun, kami tidak akan merancang untuk bermain sepanjang malam atau sehingga lewat malam. Kami akan berbincang dengan barisan pengadil untuk bermain sehingga selewat-lewatnya pada 10 malam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
