am@hmetro.com.my
Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sudah melakukan sebanyak 100 jam penerbangan Medical Evacuation (Medevac) bagi membantu membawa pesakit ke hospital sepanjang tahun lalu.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara, Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I), Mohd Ruzaidi Ramlee, berkata, jumlah penerbangan itu membabitkan tiga Pangkalan Udara iaitu di Subang, Selangor, Bertam, Pulau Pinang dan Miri, Sarawak.
Katanya, ia membabitkan sebanyak 56 penerbangan di tiga pangkalan udara untuk operasi Medevac.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 36 penerbangan adalah di kawasan Gua Musang sahaja untuk memindahkan Orang Asli yang sakit dan tidak dapat keluar menggunakan jalan darat.
“Selebihnya operasi Medevac turut dilakukan di Langkawi dan Sarawak termasuk di pedalaman Miri,” katanya tadi.
Tambah beliau lagi bentuk muka bumi di daerah ini dengan majoriti ketinggian 3,000 kaki turut memberi cabaran kepada jabatan itu dalam melakukan operasi Medevac.
Katanya, selain operasi Medevac, Unit Udara JBPM juga turut melakukan operasi penghantar bakul makan kepada penduduk terjejas banjir.
“Terbaharu kita baru tamatkan operasi menghantar bakul makan kepada lebih 1,000 keluarga Orang Asli di Gua Musang yang terkesan dengan musim tengkujuh.
“Selain operasi Medevac dan penghantaran bakul makanan, kami juga turut melakukan operasi mengambil mayat pendaki yang meninggal ketika mendaki gunung.
“Kami di Unit Udara JBPM akan sentiasa bersiap sedia dan akan memberi komitmen penuh dalam membantu masyarakat yang memerlukan khidmat kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




