am@hmetro.com.my
Ipoh: Dua beradik maut apabila motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah-Jalan Pasir Puteh, di sini, hari ini.
Difahamkan, mangsa berusia 14 dan 22 tahun dengan salah seorang daripadanya adalah pelajar.
Nahas itu dikongsikan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee menerusi hantaran di Facebooknya.
“Kemalangan maut di persimpangan Jalan Sultan Azlan Shah -Jalan Pasir Puteh yang mengakibatkan kematian dua orang mangsa yang juga merupakan adik-beradik.
“Takziah diucapkan kepada keluarga dan pihak saya akan membantu bagi urusan pengurusan jenazah mangsa yang terbabit bagi meringankan beban keluarga mangsa,” kata hantaran itu.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika seorang wanita mahu menghantar adik lelakinya berusia 14 tahun itu ke sekolah sebelum terus ke tempat kerja.
Setakat berita ini ditulis, kedua-dua jenazah sedang dalam proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuat semakan terlebih dahulu mengenai kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




