saufi@mediaprima.com.my
MELIHAT kepada pasaran peranti pintar yang pelbagai, pengguna cenderung untuk memiliki sebuah peranti sebagai ‘daily driver’ yang seimbang serta memberikan keupayaan dalam segenap sudut.
Peranti ini perlu menggabungkan fotografi bertaraf kelas perdana bersama prestasi konsisten untuk kegunaan harian.
Untuk itu, Xiaomi menerusi hero baru mereka, Xiaomi 17T menawarkan semua keupayaan berkenaan sekali gus menjadi peranti segenap sudut sesuai dengan keperluan pengguna hari ini.
Apa yang membezakan model ini berbanding generasi sebelumnya bukan sekadar peningkatan spesifikasi atas kertas, tetapi pendekatan lebih matang dalam menyampaikan pengalaman menyeluruh, kamera yang lebih versatil, bateri tahan lama dan reka bentuk kompak yang praktikal.
Fokus utama sudah tentu pada sistem kamera hasil kolaborasi dengan Leica, Xiaomi 17T membawa lensa Leica Summilux yang dipadankan dengan sensor Light Fusion 800 bersaiz 1/1.55 inci serta apertur f/1.7 iaitu kombinasi yang jelas memberi kelebihan dalam situasi cahaya rendah dan kawalan kedalaman medan (depth of field).
Gambar yang dihasilkan tampak lebih natural dengan tona warna yang tidak terlalu diproses.
Ini adalah kali pertama model peranti asas daripada generasi Xiaomi model ‘T’ menerima tetapan lensa telefoto 50 Megapiksel (MP) dengan lima kali zum optikal dan 10 kali lossless zum sekali gus menjadikan peranti ini lebih fleksibel, sama ada untuk potret jarak jauh atau komposisi kreatif.
Menyentuh sudut video, keupayaan rakaman sehingga 4K 60 bingkai sesaat (fps) menunjukkan ia bukan sekadar telefon untuk fotografi, tetapi juga pencipta kandungan.
Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, peningkatan paling ketara terletak pada keseimbangan sistem kamera.
Kini, pengguna bukan sahaja bergantung kepada kamera utama, tetapi boleh memanfaatkan tiga jarak fokus utama, 15 milimeter (mm) sudut ultra lebar, 23 mm standard dan 115mm telefoto tanpa kompromi besar daripada segi kualiti.
Ini memberi pengalaman lebih menyeluruh kepada pengguna yang mahukan satu peranti untuk semua jenis situasi fotografi.
Bagi aspek prestasi, cipset Mediatek Dimensity 8500-Ultra memastikan pengalaman penggunaan yang lancar tanpa gangguan, sama ada untuk pelbagai guna, permainan atau penggunaan aplikasi berat.
Digandingkan dengan Xiaomi HyperOS 3, sistem ini terasa lebih responsif dan dioptimumkan berbanding generasi terdahulu.
Sokongan kemas kini sehingga lima tahun OS dan enam tahun keselamatan pula memberi nilai jangka panjang yang semakin penting bagi pengguna hari ini.
Reka bentuk juga memainkan peranan penting dengan skrin 6.59 inci, Xiaomi 17T mengekalkan profil yang lebih kompak berbanding trend telefon besar masa kini, menjadikannya lebih selesa digunakan dengan satu tangan.
Paparan ‘Xiaomi-custom’ M10 dengan kecerahan puncak 3500 nits dan kadar segar semula 120Hz memastikan visual kekal terang dan lancar, manakala pensijilan TUV Rheinland Quadruple Eye Care membantu mengurangkan keletihan mata sesuatu yang semakin relevan dalam penggunaan harian yang panjang.
Siri Xiaomi 17T adalah peranti pertama di dalam pasaran yang menerima pensijilan empat kali (quadruple) serta menjadikan peranti ini mempunyai taraf premium.
Akhir sekali, kapasiti bateri 6,500mAh memberikan ketahanan yang benar-benar boleh diharapkan, mudah melepasi sehari penggunaan biasa.
Menerusi sokongan 67W HyperCharge, masa mengecas juga tidak menjadi isu besar.
Tambahan ciri seperti IP68 dan pengecasan berbalik menjadikan peranti ini lebih praktikal dalam pelbagai situasi.
Untuk rekod, model ini juga turut didatangkan dengan dua variasi iaitu Xiaomi 17T dan Xiaomi 17T Pro.
Pengguna yang mahukan peranti lebih kompak, mereka boleh memilih Xiaomi 17T dengan saiz skrin 6.59 inci berbanding versi 17T Pro dengan 6.83 inci.
Secara keseluruhan, Xiaomi 17T bukan sekadar naik taraf biasa, tetapi evolusi yang lebih fokus kepada pengalaman pengguna.
Ia sesuai untuk mereka yang mahukan satu telefon yang mampu melakukan semuanya daripada fotografi berkualiti tinggi, prestasi stabil, hinggalah ketahanan bateri yang boleh dipercayai tanpa perlu berkompromi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




