farid_noh@bh.com.my
Kota Tinggi: Seramai 335 mangsa banjir daripada 124 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini susulan banjir, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, hujan lebat lebih 12 jam sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah ditenggelami air.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, kawasan terjejas termasuklah Sungai Mas dan Bandar Penawar di Pengerang, Johor Lama serta kawasan sekitar bandar Kota Tinggi.
Katanya, penduduk di kawasan rendah dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa terutama berhubung pemindahan.
“Mangsa paling ramai setakat ini ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota di bandar Kota Tinggi, membabitkan 154 mangsa daripada 60 keluarga.
“Diikuti PPS Dewan Kampung Baru Sungkai Mas, Pengerang dengan 18 mangsa daripada tiga keluarga, manakala 11 mangsa daripada empat keluarga pula ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Bersatu (SRAB).
“Jumlah mangsa dijangka meningkat susulan proses pemindahan masih berjalan dan sedang diselaras,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Sementara itu, Azmi berkata, empat sungai di negeri itu merekodkan paras bahaya, iaitu Sungai Sedili Kecil, Kota Tinggi (2.63 meter); Sungai Jemaluang, Mersing (2.32 meter); Sungai Skudai, Johor Bahru (3.72 meter) dan Sungai Tebrau, Johor Bahru (2.51).
Katanya, lima lagi sungai mencatatkan paras amaran termasuk Sungai Tiram di Johor Bahru; Sungai Punggai, Kota Tinggi; Sungai Endau Mersing dan Sungai Tenglu Kecil juga di Mersing.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini dilaporkan mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di 10 daerah di negeri Johor, mulai hari ini sehingga Ahad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




