Pas tidak pernah khianati kerjasama dengan pihak lain – Abdul Hadi

Pas tidak pernah khianati kerjasama dengan pihak lain – Abdul Hadi

PETALING JAYA: Pas tidak pernah mengkhianati kerjasama dengan mana-mana pihak selagi ia berada dalam sempadan yang ditetapkan Allah SWT dan berpaksikan ajaran Rasulullah SAW.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sejak penubuhannya sebelum kemerdekaan, Pas telah bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk menentang penjajahan serta mengisi kemerdekaan berasaskan prinsip Islam.

Katanya, Pas akan membatalkan kerjasama sekiranya ia cuba mengheret parti itu keluar daripada landasan Islam.

“Pas membatalkan kerjasama dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila suara dan perkataan Islam diminta disembunyikan serta berlaku tentangan terhadap Islam yang menjadi dasar dan matlamat Pas.

“Pas turut menolak pendekatan dalam kalangan ahli sendiri yang bersifat mujamalah atau mengambil hati sehingga sanggup menyembunyikan cita-cita negara Islam dan pelaksanaan Islam demi meneruskan kerjasama politik,” katanya menerusi Minda Presiden Pas hari ini.

Abdul Hadi berkata, Pas mengambil pengajaran daripada beberapa gerakan Islam di luar negara yang terpesong apabila mengubah pendekatan dengan meninggalkan identiti Islam dan menggantikannya dengan istilah lain seperti keadilan, kemerdekaan, islah dan amanah.

Katanya, terdapat juga gerakan yang menurutnya terikat dengan perjanjian politik sehingga tidak berupaya melaksanakan agenda Islam dan terlibat dalam normalisasi terhadap Israel, sekali gus gagal melaksanakan kewajipan terhadap Palestin.

Beliau turut merujuk pengalaman di Maghribi apabila kumpulan Islam yang bersikap lunak dalam politik akhirnya ditolak oleh rakyat.

“Ketegasan Pas dalam istiqamah bersama Islam menjadikannya tidak dapat diheret dan dipergunakan dalam permainan politik yang tidak ikhlas.

“Mana-mana pihak yang menjadikan Pas sebagai alat kepentingan politik akan akhirnya meninggalkan parti itu dalam keadaan kehilangan arah.

“Namun begitu, bahtera Pas tidak tenggelam walaupun pernah kehilangan kerusi dan pemimpin silih berganti mengikut ketetapan Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi pada sidang akhbarnya di Marang, Terengganu menyatakan Pas akan menilai semula kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas beberapa sebab.

Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu kemudian disahut Biro Politik Bersatu yang seakan berang dengan kenyataan terbabit yang dilihat mencampuri urusan dalaman parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Situasi panas seperti itu bukan pertama kali berlaku antara kedua-dua parti kerana sebelum ini hubungan kedua-duanya turut diuji dengan pergolakan di Perlis sehingga membawa kepada pertukaran Menteri Besar negeri berkenaan daripada Pas kepada Bersatu. – UTUSAN

Scroll to Top