Tokyo: Lapan orang cedera dalam serangan tukul di sebuah universiti di Tokyo pada Jumaat, dengan seorang pelajar berusia 22 tahun ditahan di tempat kejadian, menurut media Jepun.
Penyiar awam NHK, yang memetik sumber polis dengan menyatakan serangan itu berlaku pada waktu petang di Kampus Tama, Universiti Hosei.
NHK dan media lain melaporkan penyerang, seorang pelajar wanita dalam jurusan sosiologi, menghayunkan tukul semasa sesi kuliah.
Laporan menyatakan beberapa individu dilihat mengalami pendarahan di kepala dan wanita itu berkata, dia mempunyai perasaan marah yang terpendam kerana diabaikan.
Polis bagaimanapun tidak dapat mengesahkan butiran kepada AFP mengenai kes itu.
Rakaman secara langsung disiarkan NHK menunjukkan barisan kenderaan kecemasan dengan lampu berkelip di kampus universiti itu di daerah pinggir bandar Machida, di ibu negara Jepun.
Sebelum ini, terdapat beberapa kejadian tikaman dan tembakan di Jepun, termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe pada 2022.
Universiti Hosei ditubuhkan pada 1880 sebagai sekolah undang-undang dan mempunyai 15 fakulti, menurut laman webnya.
Disember lalu, seorang pelajar sekolah menengah rendah ditikam hingga mati dan seorang lagi cedera di sebuah restoran makanan segera di barat daya Jepun. Seorang lelaki kemudian ditahan susulan serangan itu.
Remaja itu sedang beratur untuk membuat pesanan kira-kira 8.30 malam apabila penyerang dilaporkan masuk ke restoran di bandar Kitakyushu dan menikam kedua-dua mangsa.
Pada Januari 2022, tiga orang ditikam di luar Universiti Tokyo yang berprestij sebelum peperiksaan peringkat kebangsaan.
Mangsa termasuk seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, dan seorang lelaki berusia 72 tahun, menurut polis pada masa itu.
Polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun, yang ditahan di pintu masuk universiti selepas serangan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




