Manchester: Manchester City meraih kemenangan bergaya di saingan Piala FA selepas membelasah kelab dari liga divisyen empat, Salford City 8-0, awal pagi tadi.
City yang banyak melakukan pertukaran pemain, mendominasi perlawanan sepenuhnya, dengan Divin Mubama cemerlang pada penampilan pertamanya bersama skuad senior apabila mencetak satu gol.
Jack Grealish pula menamatkan kemarau gol selama setahun melalui sepakan penalti, dan James McAtee mencipta hatrik pada separuh masa kedua.
Mubama menggandakan kelebihan City dengan satu gol mudah selepas Jeremy Doku membuka jaringan untuk tuan rumah pada minit kelapan.
City semakin mendahului apabila Nico O’Reilly menjaringkan gol sebelum berakhir babak pertama.
Jack Grealish turut menyumbang gol apabila dia mendapat dan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-49, sebelum McAtee mencipta tiga gol dalam tempoh 20 minit, dan Doku menjaringkan gol menerusi penalti.
Salford, yang dimiliki bersama oleh bekas pemain Manchester United seperti Gary Neville, Ryan Giggs, Phil Neville, Paul Scholes, Nicky Butt dan David Beckham, menunjukkan kemajuan dan sedang berusaha untuk naik dari Liga Dua, namun mereka diberikan pengajaran oleh City yang beraksi dengan begitu cemerlang.
“Man City dan Pep tidak pernah memandang rendah sesiapa, dan malam ini mereka menunjukkan mengapa mereka berada di tahap ini selain Pep membuktikan kemampuan sebenarnya,” kata pengurus Salford, Karl Robinson.
Pasukannya tidak pernah bolos dalam enam perlawanan terakhir, tetapi City cukup sukar untuk di atasi.
Butt dan Scholes menyaksikan dari kotak pengarah, sementara Giggs memerhati dari kawasan teknikal sebagai pengarah bola sepak kelab.
“Saya memberitahu pemain, jika seseorang memberitahu saya kami akan bolos lapan gol dalam tujuh perlawanan, saya akan menerimanya. Saya cuma tidak menjangka ia berlaku dalam satu perlawanan,” kata Robinson.
Pengurus City, Pep Guardiola melakukan sembilan pertukaran barisan pemain yang menewaskan West Ham United minggu lalu, dengan barisan bintang utama berada di bangku simpanan untuk situasi kecemasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




