am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Jalan Pantai Kampung Tanjong, Batu Rakit di sini, ditutup apabila laluan dari Batu Rakit menghala ke Mengabang Telipot runtuh akibat dibadai ombak, kira-kira 9 malam tadi.
Tinjauan NSTP di kawasan berkenaan jam 1 pagi tadi mendapati beberapa pekerja syarikat penyelenggaraan jalan sedang memasang tali dan batu penghadang serta papan tanda jalan ditutup di kedua-dua arah.
Laluan sepanjang kira-kira 50 meter (m) itu dikatakan runtuh selepas dibadai ombak besar setinggi 2.4 m serta angin kencang bermula 6 petang dan berlarutan sehingga awal pagi ini.
Hakisan dijangka menjadi lebih teruk apabila ombak dikatakan mencecah sehingga 2.9 m dengan kelajuan angin sekitar 40 kilometer sejam bermula 8 malam ini.
Penduduk, Khairul Anuar Shamshudin, 43, berkata, hakisan yang semakin mengganas turut memusnahkan bangsal serta jeti nelayan kampung berkenaan yang dibawa arus ke laut malam tadi.
“Hakisan berlaku terlalu cepat. Ahad lepas, hanya sebahagian kecil jalan yang runtuh. Dalam masa enam hari, sudah separuh bahagian jalan ‘hilang’ dibadai ombak.
“Yang terbaharu ini (jalan runtuh) jam 9 malam tadi. Malam esok (malam ini) ombak dikatakan lebih tinggi iaitu 2.9 m dengan kelajuan angin kira-kira 40 kilometer sejam dan ia akan meruntuhkan lebih banyak lagi bahagian jalan ini,” katanya ketika ditemui bersama beberapa penduduk sedang meninjau keadaan hakisan di lokasi berkenaan, awal pagi tadi.
Katanya, jalan berkenaan akan putus jika tidak ada tindakan segera diambil bagi mengelak hakisan terus berlaku di kawasan berkenaan sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac ini.
“Saya difahamkan kerja-kerja membina penghadang ombak di kawasan pantai ini terutama di bahagian jalan ini akan bermula Mac nanti.
“Monsun Timur Laut dijangka berakhir Mac nanti. Saya percaya untuk sampai ke bulan Mac, jalan ini akan runtuh sepenuhnya dan berkemungkinan besar akan memusnahkan beberapa rumah penduduk yang tinggal berhampiran jalan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




