London: West Ham United menghadapi cabaran besar selepas penyerang mereka, Niclas Fullkrug, disahkan akan diketepikan selama beberapa minggu akibat kecederaan hamstring.
Kecederaan itu dialami semasa kekalahan 1-2 dalam saingan FA Cup kepada Aston Villa.
Fullkrug, yang menyertai West Ham dari Borussia Dortmund pada Ogos, mengalami tempoh sukar sejak tiba di England.
Sebelum ini, dia terlepas aksi selama dua bulan akibat kecederaan Achilles dan kembali beraksi bulan lalu.
Penyerang Jerman itu berjaya menjaringkan dua gol dalam saingan liga musim ini.
Kehilangan Fullkrug menambahkan senarai kecederaan panjang untuk skuad Graham Potter.
Kapten pasukan Jarrod Bowen sedang berehat akibat retak tulang kaki, manakala Michail Antonio masih dalam pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat patah kaki yang dialaminya dalam satu kemalangan jalan raya serius bulan lalu.
Dengan pasukan kini di kedudukan ke-14 dalam Liga Perdana Inggeris, Potter menghadapi tugas berat untuk memastikan prestasi pasukan meningkat dalam perlawanan sulung liga di bawah kendaliannya.
West Ham akan menerima kunjungan Fulham Rabu ini dan keputusan positif amat diperlukan bagi mengelakkan terperosok ke zon penyingkiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




