am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Hampir setahun saya menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila suami kini seperti bayi yang perlu diuruskan sepenuhnya,” luah Che Ramlah Abdul Ghani, 43.
Che Ramlah berkata, suaminya, Jusoh Awang, 71, diserang angin ahmar sejak Mac tahun lalu menyebabkan mereka sekeluarga hilang tempat bergantung dan hanya bergantung wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM900 sebulan.
Katanya, kesemua enam anaknya yang berusia tujuh sehingga 18 tahun, masih bersekolah.
“Saya tidak dapat mencari kerja tetap kerana perlu menjaga suami serta mengambil dan menghantar anak ke sekolah.
“Hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Wang bantuan JKM dibahagikan sebaiknya untuk perbelanjaan harian lain termasuk makan dan minum anak-anak.
“Sebelum ini, suami membantu dengan bekerja sebagai buruh tetapi kini hanya mampu terlantar. Saya mengharapkan supaya dia kembali sihat. Sekurang-kurangnya dapat mendengar luahan hati saya yang ada kalanya mahu berputus asa.
“Insya-Allah, selagi hayat dikandung badan, saya akan terus menjaga serta merawat cinta hati saya ini supaya dia boleh kembali sihat. Alhamdulillah, anak-anak juga memahami dan saling membantu untuk menjaga bapa mereka,” katanya yang tinggal di Kampung Kolam, Gelang Mas, di sini.
Che Ramlah berkata, rutinnya setiap hari bermula dengan menguruskan pakaian serta makan dan minum suaminya agar sentiasa dalam keadaan terurus termasuk menukar lampin pakai buang.
Nasib Che Ramlah turut mendapat perhatian Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed, yang hadir menyampaikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan asas.
Che Ramlah berkata, rutinnya setiap hari bermula dengan menguruskan pakaian serta makan dan minum suaminya agar sentiasa dalam keadaan terurus termasuk menukar lampin pakai buang.
Bagi sesiapa yang ingin membantu keluarga terbabit boleh menghulurkan bantuan ke akaun Maybank (820208035178) milik Che Ramlah Ab Ghani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




