norhayati_nordin@hmetro.com.my
Cyberjaya: Penyanyi berkaliber, Dayang Nurfaizah, 44, menyifatkan peringatan penyanyi ‘senior’ seperti Ziana Zain agar bakat baharu bijak membawa diri untuk kekal relevan dalam industri ada benarnya.
Dayang berkata, dia sendiri sentiasa memastikan mampu membawa diri dengan baik termasuk dari segi pergaulan sejak dulu sampai sekarang.
“Memang betul pun apa yang diingatkan oleh kak Ziana itu. Saya setuju agar bakat muda tempatan bijak membawa diri dalam industri untuk kekal bertahan. Selain itu, teruskan belajar kerana ilmu sangat penting.
“Jangan sesekali berhenti belajar dan cepat berasa putus asa. Walaupun komen juri dalam pertandingan itu kadang-kala pedas, tapi cuba terima dengan baik dan ambil positif sebab ilmu itu tiada penghujung,” katanya.
Terdahulu, Dayang hadir menjayakan persembahan nyanyian bersempena Konsert SP Winds Fantastika Fundraising Matinee dan Hi-Tea 2025 oleh Sekolah Seri Puteri di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, di sini, hari ini.
Bagi menghiburkan kira-kira 900 penonton yang hadir, Dayang muncul menyanyikan empat lagu iaitu Seandainya Masih Ada Cinta, Umpan Jinak Di Air Tenang, Ketipang Payung dan Lelaki Teragung dengan diiringi orkestra SP Winds.
Ditanya juga harapannya terhadap pelapis penyanyi baharu yang kini bertarung di pentas Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) sebagaimana pernah dilaluinya dulu, Dayang berkata, semoga mereka semua berjaya mengejar impian.
“Industri (seni hiburan) memang memerlukan kehadiran bakat baharu pelapis. Jadi, saya harap semua peserta yang bertanding itu dapat membuat persembahan terbaik dan tidak mensia-siakan peluang diperoleh.
“Teruskan usaha untuk berjaya. Saya yakin setiap orang mampu mengejar impian mereka sekiranya bersedia menimba ilmu. Saya doakan yang terbaik dan semoga berjaya,” katanya.
Menurut Dayang, pengaruh media sosial sekarang yang terlalu terbuka dalam berkongsi komen pada kalangan netizen juga memerlukan kita tenang, sabar dan lebih positif untuk memajukan diri sehingga berjaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




