Lelaki menyamar anggota polis samun kedai serbaneka mempunyai 21 rekod jenayah

Lelaki menyamar anggota polis samun kedai serbaneka mempunyai 21 rekod jenayah

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Bekas anggota polis yang dibuang kerja 19 tahun lalu direman enam hari di Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana disyaki menyamar penjawat awam dan menyamun sebuah kedai serbaneka di Senggarang, semalam.

Perintah reman ke atas suspek berusia 45 tahun dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 kanun sama.

Seksyen 392 ialah samun secara individu manakala Seksyen 170 menyamar penjawat awam.

Berdasarkan laporan, suspek memiliki 21 rekod jenayah serta narkotik bertindak menyamun rokok sambil memakai uniform polis miliknya.

Dalam kejadian itu, suspek memasuki premis terbabit lalu mengambil rokok pada jam 3.30 pagi. Sewaktu petugas kedai terbabit meminta supaya menjelaskan bayaran, suspek enggan membayar sebelum beredar.

Suspek juga menunjukkan uniform dipakainya kepada pekerja kedai terbabit kononnya dia seorang anggota polis.

Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas

menjalankan siasatan sebelum menahan suspek di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi sejam selepas kejadian.

Ketika ditahan, suspek juga didapati di bawah pengaruh dadah dengan percakapannya tidak teratur serta masih dalam keadaan khayal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top