
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent berkata, mana-mana individu atau kapal yang terlibat dalam memudahkan rangkaian perdagangan kewangan atau minyak Iran boleh berdepan sekatan AS.
WASHINGTON – Mana-mana individu atau kapal yang terlibat dalam memudahkan rangkaian perdagangan kewangan atau minyak Iran boleh berdepan sekatan Amerika Syarikat (AS), kata Setiausaha Perbendaharaan AS pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent berkata, AS akan terus melaksanakan sekatan ke atas pelabuhan Iran di samping meningkatkan tekanan kewangan yang bertujuan melumpuhkan ekonomi negara itu yang bergantung pada minyak.
“Dalam tempoh beberapa hari, simpanan di Pulau Kharg akan penuh dan telaga minyak Iran yang rapuh akan ditutup. Mengekang perdagangan maritim Iran secara langsung menyasarkan sumber hasil utama rejim itu,” katanya menerusi platform X.
Beliau berkata, kementeriannya akan terus melaksanakan apa yang disifatkannya sebagai kempen “tekanan maksimum” bagi menjejaskan keupayaan Iran menjana, memindahkan dan membawa pulang dana.
“Mana-mana individu atau kapal yang memudahkan aliran ini – menerusi perdagangan dan pembiayaan secara rahsia – berisiko dikenakan sekatan AS. Kami terus membekukan dana yang dicuri oleh kepimpinan yang korup bagi pihak rakyat Iran,” katanya.
Pasaran minyak kekal tidak menentu pada Selasa susulan pengumuman Presiden Donald Trump bahawa gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran dilanjutkan, manakala Washington mengekalkan sekatan laut. – Bernama



