Empat laluan rosak, terputus

Empat laluan rosak, terputus

am@hmetro.com.my

Tumpat: Banjir gelombang pertama penghujung November tahun lalu menyaksikan kemusnahan teruk di daerah ini termasuk empat jalan rosak serta terputus.

Empat jalan terbabit adalah Jalan Jubakar Pantai- Taman Sri Bayu, Jalan Sungai Tapang-Kampung Jubakar Pantai, jalan utama Kampung Tujoh dan Jalan Kampung Baru Nelayan.

Meskipun sudah lebih sebulan banjir gelombang pertama sudah berlalu, keadaan semua jalan terbabit belum dibaiki secara menyeluruh, malah tiga daripadanya hanya ditambak dengan batu dan boleh dilalui manakala di Jalan Jubakar Pantai-Taman Sri Bayu tetap tidak dapat digunakan.

Ia berikutan laluan sejauh 50 meter (m) yang menghubungkan dua kawasan itu terputus disebabkan terjahan arus air Sungai Golok yang kuat sehingga menghanyutkan beberapa kenderaan terus ke pantai.

Bagi penduduk perumahan Taman Sri Bayu, Muhammad Rizalman Hassan, 32, kesulitan dialami lebih 700 keluarga di kawasan itu apabila terpaksa menggunakan laluan alternatif lebih jauh berkali ganda.

“Ramai penduduk di perumahan ini yang mempunyai anak bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tapang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting serta Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang sememangnya menggunakan jalan yang putus itu sebelum ini.

“Sudah lebih sebulan kami terpaksa menggunakan laluan lebih jauh iaitu menerusi Kampung Pak Keral sebelum tiba di Pengkalan Kubor dan agak membuang masa serta memenatkan,” katanya ketika ditemui di sini.

Muhammad Rizalman berkata, sebagai inisiatif lain, penduduk bergotong-royong membina jambatan sementara dari kayu nibong sepanjang 15 meter di tali air berhampiran perumahan itu.

Bagaimanapun jambatan sementara itu hanya boleh dilalui motosikal, basikal serta motosikal roda tiga sahaja ia sedikit sebanyak membantu untuk menghubungkan penduduk di dua kawasan terbabit.

“Kami sangat berharap agar pembinaan semula jalan yang runtuh itu dapat dibuat secepat mungkin kerana selain sukar untuk pergerakan, kami juga berdepan risiko limpahan air pantai setiap kali berlaku fenomena air pasang.

“Jika jalan dibina, dapatlah menghalang limpahan air itu dari memasuki taman perumahan dan apa yang dibimbangi jika berlaku lagi gelombang banjir selepas ini, sudah pasti kejadian sama dulu akan berulang,” katanya sambil memberitahu rumahnya dimasuki air sehingga paras 1.5 m ketika gelombang pertama lalu.

Bagi penduduk di Kampung Tujoh, Kasmasazira Mohd Yusoff, 31, pula, jalan di hadapan rumahnya rosak akibat mendapan tanah ketika banjir lalu menyebabkannya berlubang sehingga terputus hubungan.

Bagaimanapun beberapa hari selepas kejadian pihak berwajib sudah menambun batu, sekali gus sudah dapat dilalui kenderaan.

Namun, katanya, masalah lain pula yang timbul apabila debu berterbangan apabila jalan itu tidak diturap.

“Rumah saya terletak di tepi jalan dan setiap hari memang akan ‘makan debu’, selagi jalan tidak diturap malah pakaian yang dijemur juga menjadi kotor.

“Diharapkan kerja menurap jalan dapat dijalankan secepat mungkin kerana selain debu, ia akan menjadi becak pada hari hujan sekaligus percikan air yang terhasil dari tayar kenderaan yang lalu lalang akan terkena rumah,” katanya.

Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top