London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta melahirkan rasa terkejut apabila pasukannya gagal menewaskan Manchester United yang bermain dengan 10 orang dalam aksi pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.
Arsenal tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti selepas seri 1-1 sehingga masa tambahan.
Pasukan tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Gabriel selepas gol pembukaan Bruno Fernandes dan kad merah dilayangkan kepada pemain United, Diogo Dalot.
Arsenal juga berpeluang mendahului melalui sepakan penalti yang agak kontroversi.
Namun sepakan penalti kapten, Martin Odegaard diselamatkan oleh Altay Bayindir, yang turut menjadi wira dalam penentuan sepakan penalti dengan menyelamatkan percubaan Kai Havertz, sekali gus memastikan kemenangan United ke pusingan keempat.
Arsenal mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol kemenangan pada kedudukan 1-1, dengan Havertz dipersalahkan kerana gagal memanfaatkan peluang mudah pada 10 minit terakhir masa permainan.
Arteta sukar untuk mempercayai pasukannya berada di pihak yang tewas.
“Agak luar biasa kami tidak memenangi perlawanan ini. Kami mendominasi sertai mempunyai kelebihan berbanding lawan, tetapi inilah hasilnya.
“Kami tidak mendapat apa yang kami mahukan iaitu elemen penting memasukkan bola ke dalam gawang.
“Kami berjaya sekali, tetapi dengan jumlah peluang, situasi dan penalti yang kami miliki, kami tidak melakukannya lagi. Kami pulang dengan perasaan sangat sedih, tetapi saya cukup bangga dengan pemain saya,” katanya.
Arsenal tampil dengan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan berjaya merapatkan jurang dengan Liverpool kepada enam mata, walaupun beraksi lebih satu perlawanan.
Namun, tersingkir pada kempen Piala FA selepas kekalahan 0-2 di tangan Newcastle United dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga di laman sendiri, mengecilkan peluang Arsenal untuk meraih trofi musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




