najiy.jefri@hmetro.com.my
Shah Alam : Peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Rezza Shah, yang disingkirkan pada minggu keempat selepas didakwa mempunyai isu disiplin oleh juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, mengakui kesalahan sendiri kerana kurang memberi tumpuan kepada program itu.
Bagaimanapun, Rezza menjelaskan kelewatannya menghadiri sesi latihan vokal dan kelas tarian berpunca daripada keperluannya mendapatkan rawatan di klinik akibat masalah insomnia yang dialami.
“Saya akui, memang lambat, tapi saya ada alasan tersendiri yang bukan sekadar untuk mempertahan diri atau mahu menutup kesalahan yang dibuat.
“Untuk sesi persediaan kelas vokal, saya lambat kerana ada temujanji di klinik sebab mengalami masalah tekak hingga perlu ambil ‘nebulizer’.
“Untuk kelas menari pula, sejujurnya saya terlajak tidur sebab saya ada insomnia sejak berusia 12 tahun. Saya susah tidur, setiap malam memang saya cuba untuk tidur.
“Saya sudah cuba dengan tidak menggunakan telefon, tapi memang susah. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada suara dan saya dapat penyakit seperti tonsil,” katanya pada sidang media konsert minggu keempat CSOIAM di Studio TV3, Glenmarie di sini, malam tadi.
Walaupun menerima komen pedas daripada juri, namun Rezza tidak menyimpan sebarang dendam sebaliknya berterima kasih atas teguran itu.
“Saya bukan nak beri alasan, tapi hanya saya yang tahu dan hadap semua ini. Bila sudah ada sakit dengan apa yang saya alami selama ini, diri saya saja yang tahu.
“Saya rasa kalau orang lain hadap apa yang saya lalui, mungkin boleh ‘gila’. Semua komen daripada juri malam ini (malam tadi) membantu untuk lebih lama dalam industri muzik ini.
“Kalau tiada komen-komen sebegitu, saya tidak akan jadi manusia atau artis yang ada disiplin selepas ini. Bagi orang komen itu ‘pedas’, tapi bagi saya tidak,” katanya.
Menurutnya, dia juga menerima kesalahan yang dilakukan dengan berlapang dada dan berterima kasih kepada pihak produksi yang menegurnya.
“Kalau betul anak jantan, kenapa nak ‘koyak’? Sudah buat salah, maka tanggunglah. Saya akan perbaiki lagi disiplin selepas ini supaya akan lebih lama bertahan dalam industri muzik ini.
“Kalau menyanyi sedap atau tampan macam mana sekalipun, tapi kalau disiplin tak jaga, tak guna. Saya pegang dengan prinsip itu.
“Saya berterima kasih kepada kakak, abang dan produksi program ini kerana beri saya teguran,” katanya.
Konsert minggu keempat CSOIAM dikejutkan dengan situasi Rezza berdepan teguran keras daripada Yusry dan juri tetap, Ziana Zain.
Komen dilayangkan kedua-dua juri itu dilihat memberi tamparan hebat buat Rezza biarpun persembahannya pada minggu bertemakan Sinergi Muzik itu menghiburkan penonton.
Detik Rezza dikritik hebat Yusry dan Ziana juga membuatkan penonton yang berada Studio TV3, Glenmarie, Shah Alam, tergamam seolah-olah tidak menyangka dengan perkara itu.
Yusry dalam komennya ketika itu berkata, dia seolah-olah menyesal memberikan ‘imuniti’ kepada Rezza bagi menyelamatkannya daripada penyingkiran pada minggu pertama CSOIAM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




