Sandwich ham and cheese disahkan tiada sijil halal

Sandwich ham and cheese disahkan tiada sijil halal

mhafis@mediaprima.com

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk ‘ham and cheese sandwich” yang diragui status halal.

Menurutnya, Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa produk berkenaan tidak mempunyai SPHM dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

“Oleh itu, tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah suatu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan tindakan undang-undang sudah diambil oleh KPDN,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal.

Terdahulu media melaporkan Universiti Malaya (UM) menutup serta-merta dua premis jualan runcit 24-jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal.

Dalam kenyataan media, UM menyatakan arahan penutupan itu dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan dilaksanakan tanpa sebarang gangguan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top