Jakarta: Polis Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) akan memanggil beberapa saksi untuk disoal siasat, susulan satu laporan kes dakwaan penipuan pelaburan yang mengaitkan pempengaruh terkenal dari Malaysia, Aisar Khaled.
Memetik laporan portal kumparan.com, Ketua Subdirektorat Penerangan Masyarakat (Kasubdit Penmas) Polda Metro Jaya, Asisten Komisioner Besar Polis (AKBP) Onkoseno berkata, pihak penyiasat kini melengkapkan urusan pentadbiran siasatan sebelum memanggil pihak-pihak berkaitan.
“Laporan berkenaan sudah diterima pihak Polda. Sudah tentu pasukan penyiasat sedang menyusun kertas siasatan terlebih dahulu, sebelum sesi soal siasat dijalankan ke atas beberapa saksi yang sudah dinamakan,” katanya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Onkoseno mengesahkan bahawa pihaknya akan memanggil Aisar Khaled bagi membantu siasatan, dalam masa terdekat.
“Ya, agenda untuk menyoal siasat saksi-saksi memang ada, dan tarikhnya akan dijadualkan oleh penyiasat kelak,” katanya.
Terdahulu, Aisar dilaporkan kepada Polda Metro Jaya pada Isnin lalu atas dakwaan berkaitan penipuan.
Laporan berkenaan difailkan oleh peguam yang mewakili sebuah syarikat yang mendakwa mengalami kerugian pelaburan dianggarkan berjumlah 5.7 bilion Rupiah (kira-kira RM1.6 juta).
Difahamkan, pertikaian itu berpunca daripada satu perjanjian pelaburan yang ditandatangani oleh Aisar dan pihak pengadu pada Februari 2026.
Menerusi perjanjian berkenaan, pempengaruh berkenaan didakwa mempunyai komitmen bayaran tertunggak sekitar 5.7 bilion Rupiah yang masih belum dilunaskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


