am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Penduduk di Taman Saujana Aman, di sini sudah lali dan menganggap banjir di kawasan itu sebagai acara tahunan disebabkan kekerapan bencana itu saban tahun.
Bagi Mohd Farid Ghazali, 40, beliau sekeluarga sudah nekad tidak mahu membeli perabot atau barangan elektrik baharu kerana enggan menanggung kerugian lagi.
Menurut Mohd Farid yang juga juruteknik sebuah syarikat swasta, dia dan lima ahli keluarga ketika ini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Desa Coalfields.
“Semasa kejadian sekitar jam 4.30 pagi, saya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari luar. Saya lihat jiran mengeluarkan kenderaan mereka untuk diletakkan di tempat tinggi.
“Saya kejutkan isteri dan anak-anak sambil mengemas pakaian dan dokumen penting. Pada masa sama, kereta dan motosikal saya juga dibawa keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Farid berkata, dia yang sudah enam tahun menetap di perumahan berkenaan belum dapat melupakan peristiwa banjir besar pada Disember 2021.
Katanya, perasaan gusar timbul setiap kali nampak cuaca mendung dan hujan lebat, kerana musibah enam tahun lalu masih berbekas, dan masih ingat tingkat bawah rumah bersama kereta habis ditenggelami air.
Walaupun sudah terbiasa, Mohd Farid memohon pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya supaya masalah itu tidak berulang.
Menurut Mohd Farid, terdapat projek perumahan baharu berdekatan yang diluluskan pembinaannya sedangkan kawasan itu sering dilanda banjir.
“Selepas banjir besar 2021, saya lihat ramai yang tidak mahu tinggal sini kerana enggan ambil risiko,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Seri Sentosa, Sairul Nizam Jamaldin, 41, berkata, banjir kali ini yang datang mendadak merosakkan perabot dan barang elektrik mereka.
Luahnya, saban tahun bencana banjir berulang sehingga ada penduduk yang mengambil keputusan untuk berpindah.
“Kami sekeluarga terpaksa tinggal di kawasan itu kerana tidak mampu untuk berpindah atau menyewa tempat lain.
“Lagi pun tanah yang kami tinggal sekarang ini adalah milik ibu mertua,” katanya yang bekerja sebagai kerani.
Sairul Nizam berkata, dia dan isteri, Nurhidayah Suhadi, 37, tetap berwaspada dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Dia berharap pihak berkuasa melakukan sesuatu demi keselamatan penduduk.
“Penat sebenarnya apabila kena berpindah dan mengemas rumah selepas selesai banjir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




