Polis terima laporan 'ham and cheese sandwich' diragui status halal

Polis terima laporan 'ham and cheese sandwich' diragui status halal

mhafis@mediaprima.com

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penjualan produk ‘ham and cheese sandwich’ yang diragui status halal di sebuah kedai serbaneka di universiti awam di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kes itu sudah dirujuk ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

“Kita mengesahkan sudah menerima laporan polis berkaitan isu itu dan ia sudah dirujuk ke Jakim dan KPDN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro terdahulu melaporkan KPDN menyerbu sebuah kilang pembuat roti sandwich di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam dilaporkan berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya dengan kerjasama Jakim yang bermula jam 1 tengah hari.

Menurutnya, serbuan itu hasil aduan yang diterima oleh pihak Jakim dan tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan pada produk roti sandwich yang dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Jakim turut mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top