Gagal ledak gol, Postecoglou pertahan Ronaldo

Al-Ain: Ketua jurulatih Al Nassr, Ange Postecoglou terpaksa mempertahankan Cristiano Ronaldo selepas pasukannya dibelasah Al Ain 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

Juara Liga Pro Saudi itu bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai pasukan pilihan, namun mereka tewas dengan gandingan adik beradik, Houssine Rahimi dan Soufiane mengetuai persembahan cemerlang juara Ermiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Selepas permulaan positif di bawah kendalian jurulatih dari Australia itu, prestasi Nassr bagaimanapun merosot dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Pada awal musim, Postecoglou terpaksa mengeluarkan Ronaldo pada separuh masa dalam perlawanan menentang Al Ettifaq ketika pemain itu kembali beraksi selepas mewakili Portugal di Piala Dunia.

Ketika itu, Nassr ketinggalan 0-2, tetapi mereka bangkit tanpa pemain tonggak itu untuk menang 3-2 walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas seorang pemain dilayangkan kad merah pada awal perlawanan.

Ronaldo menjaringkan tiga gol liga sejak itu, tetapi dia kelihatan kecewa ketika Nassr tewas teruk kepada Al Ain.

“Cristiano sudah menjaringkan tiga gol,” kata Postecoglou. “Dia mempunyai persediaan yang terhad (kerana penyertaan di Piala Dunia).

“Ini bukan mengenai pemain. Pemain memberikan segala-galanya, mereka pemain berkualiti tinggi dan mempunyai karakter yang hebat. Ia adalah tanggungjawab saya.

“Namun, anda tidak sepatutnya berkata demikian (mengkritik Ronaldo) mengenai seseorang yang masih menjadi contoh kepada semua orang.

“Anda perlu berhati-hati apabila mengatakan perkara seperti itu mengenai individu yang membina kerjaya dengan melakukan segala pengorbanan untuk terus bermain.

“Anda boleh mengkritik saya, tiada masalah. Adakah (Ronaldo) tidak menjaringkan gol dalam tiga perlawanan? Adakah dia tidak mempunyai peluang hari ini?”

Apabila Postecoglou dimaklumkan bahawa Ronaldo ‘tidak melakukan apa-apa’ dalam tiga perlawanan terakhir, beliau berkata: “Jadi, anda menonton perlawanan yang berbeza daripada saya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top