ECRL: Landasan 400km Maran ke Kota Bharu siap awal

ECRL: Landasan 400km Maran ke Kota Bharu siap awal

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kerja pemasangan landasan sepanjang 400 kilometer (km) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi jajaran utama dari Maran, Pahang hingga ke Kota Bharu, siap lebih awal daripada dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, pencapaian itu menunjukkan pasukan terbabit dengan projek mega berkenaan berada di landasan baik.

“Kerja pemasangan landasan sejauh 400km ini siap dua bulan setengah lebih awal, dan ia adalah signifikan kerana membabitkan pemasangan landasan utama.

“Kejayaan pemasangan didukung oleh penggunaan teknologi termoden dan canggih dari China serta memaparkan dedikasi dan kerjasama erat pasukan ECRL.

“Projek ECRL mencatat pencapaian penting dalam pemasangan landasan, di mana fasa pertama hingga fasa ketiga dilaksana dengan lancar sekali, serta mendahului jadual asal,” katanya kepada pemberita di Stesen ECRL Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Darwis berkata, secara keseluruhan projek ECRL mencapai 77.39 peratus kemajuan setakat Disember lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 dan bakal beroperasi pada Januari 2027.

Katanya, jangkaan mempercepatkan pembinaan sistem elektrifikasi, semboyan dan telekomunikasi untuk jajaran ECRL di Kelantan, memandangkan pemasangan landasan sepanjang 43.86km di negeri itu siap sepenuhnya hari ini.

“(Berikutnya) Kerja pemasangan landasan Fasa 4 kira-kira 100km dari Maran ke Bentong akan dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya yang memaklumkan pembinaan jajaran di Kelantan mencapai 87.80 peratus.

Menurutnya, Kelantan akan mempunyai dua stesen ECRL iaitu Stesen Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong dan Stesen Pasir Puteh di Cherang Tuli yang juga untuk kegunaan kargo.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer akan merentasi tiga negeri Pantai Timur, sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top