am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan gangguan yang diterima seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah, di sini selepas menerima laporan yang dibuat mangsa, kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 16 tahun menerima mesej pertama melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor telefon yang tidak dikenali yang memintanya menghantar video peribadi.
Menurutnya, tidak lama kemudian suspek menghantar satu gambar mangsa berserta kata-kata berunsurkan penghinaan menggunakan fungsi ‘view once’ (sekali lihat).
“Mangsa mengesyaki perbuatan itu dilakukan individu yang mempunyai kaitan dengan sekolahnya lalu tampil membuat laporan polis.
“Bertindak atas laporan yang diterima, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Seksyen 507E Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jelasnya, mangsa juga pernah membuat dua laporan polis sebelum ini dan laporan berkenaan diklasifikasikan sebagai rujuk lain agensi kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi tujuan tindakan lanjut.
“Ketika ini siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti serta mengesan individu yang terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Syafiq Iqmal Ismail menerusi talian 04-5382222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu JPNPP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa agensi itu menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti setiap aspek yang berkaitan dengan insiden seorang pelajar perempuan menjadi mangsa gangguan seksual dan buli siber di sebuah sekolah menengah di negeri ini.
JPNPP menegaskan bahawa memberi kerjasama penuh bagi membantu proses siasatan kes berkenaan yang kini dalam tindakan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




