riadz@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit, komposer dan pemain gitar kumpulan rock popular Barbarik, JoBranko mendapat tawaran daripada kumpulan rock yang berpangkalan di London, England untuk mencipta dan menerbitkan lagu-lagu mereka.
JoBranko berkata, kumpulan rock yang dikenali dengan nama Trinity itu berminat untuk mendapatkan khidmatnya selepas mendengar lagu-lagu Barbarik dari album sulung, Peluru Cokelat yang dipasarkan baru-baru ini.
“Di London, Trinity adalah kumpulan rock baru yang merancang untuk menghasilkan lagu-lagu baru. Mereka nak buat lagu baru, tapi bunyinya sama seperti kumpulan-kumpulan rock yang mereka minat iaitu Led Zeppelin, Iron Maiden, AC/DC dan Whitesnake. Mereka mahu kelainan.
“Jadi, apabila mendengar album Barbarik, mereka berminat dan minta saya menghasilkan gubahan muzik seperti itu. Maknanya, mereka mahu saya terbitkan tiga lagu mereka,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut JoBranko, kumpulan Trinity mendapat tahu mengenai Barbarik daripada salah seorang rakan mereka yang juga rakyat Malaysia yang menetap di sana.
“Mereka nak meneroka muzik daripada kumpulan rock di luar England dan Amerika Syarikat. Apabila dapat tahu mengenai Barbarik, mereka suka dan dapat tahu saya juga banyak menghasilkan lagu. Kemudian mereka cari lagi dan tahu sebelum ini saya bersama Wings. Mereka dengar pula lagu-lagu Wings dan mereka paling suka dengan album Mr Barbarik,” katanya.
JoBranko berkata, selepas berbincang dengan mereka, dia merasakan lebih baik dia ke London dan bertemu mereka.
Katanya, mereka kemudian bersetuju termasuk untuk menaja tiket penerbangan dan penginapannya di sana.
“Di sana saya akan tengok macamana mereka main. Dalam masa sama berbincang gubahan muzik bagaimana yang sesuai dengan mereka. Mungkin saya akan buat muzik dengan pengaruh etnik-etnik tertentu. Mungkin saya masukkan elemen joget. Saya nak bagi kelainan, biar ‘Mat Salih’ main lagu-lagu etnik kita.
“Ideanya saya dah ada, cuma saya nak tengok mereka serius ke tidak nak suruh saya buat lagu. Walaupun mereka ini kumpulan rock baru, tapi bagus juga sebab ada juga orang sana yang kenal dan suka dengan lagu-lagu Barbarik,” katanya.
JoBranko yang berlepas ke London malam semalam turut ditemani pengurusnya, Noh Rahman dan penyanyi Barbarik, Muss.
Dalam pada itu, JoBranko juga akan berbincang dengan syarikat MNBA Entertainment UK Ltd, di sana yang berminat untuk menerbitkan lagu Inggeris Barbarik di United Kingdom.
JoBranko berkata, mereka akan merakam tiga lagu Barbarik iaitu Peluru Cokelat, Didakap Pesona dan Keris Tak Bersarung dalam versi bahasa Inggeris.
“Jika semua berjalan lancar dan bertemu dengan penulis lirik yang sesuai, kami akan ke sana lagi untuk merakamkan lagu-lagu itu,” katanya.
Selain itu, JoBranko dan Muss juga akan mengadakan persembahan akustik khas untuk penuntut dan rakyat Malaysia di Chempaka Kensington, London, Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




