Kini aktif berkarya, penyanyi Shiha Zikir kembali dengan lagu terbaharunya berjudul Lebih Baik, hasil kolaborasi bersama komposer dan penulis lirik, Shazee Ishak dan Audi Mok.
Menerusi Alternate Records, Shiha mempersembahkan sebuah pop balada yang menggali makna refleksi diri dalam hubungan percintaan, serta mengungkap kekuatan yang terbit daripada cinta, perpisahan, dan keinginan untuk menjadi versi yang lebih baik.
Mengangkat tema swacinta, Lebih Baik menyampaikan mesej tentang kepentingan mencintai diri sendiri sebelum mampu mencintai orang lain. Dengan intipati “kebahagiaan datang dari dalam diri”, lagu ini menekankan perjalanan pemulihan dan penemuan makna kebahagiaan sebenar dari dalam jiwa.
Bait-bait lirik seperti “Aku akan lebih baik” dan “Perpisahan kita menjadi pengajaran” menggambarkan proses penyembuhan selepas kehilangan. Lagu ini mengingatkan bahawa perpisahan bukanlah pengakhiran, dan mencintai diri sendiri ialah langkah pertama untuk membina kebahagiaan sejati.
Dengan Lebih Baik, lagu ini boleh menjadi penyuntik semangat buat individu yang sedang bergelut. Melodinya yang lembut dan menenangkan, ditambah dengan lirik puitis, pasti akan mencipta pengalaman pendengaran yang penuh kesan dan menyentuh perasaan.
“Saya percaya kisah dalam lagu ini sangat dekat dengan hati pendengar, terutamanya dengan tema self-love yang diangkat. Proses rakaman pula sangat lancar, hanya mengambil masa sekitar dua jam, kerana Shazee banyak membantu,” kata Shiha.
Menyatukan kesayuan dengan harapan, Shiha berkongsi bahawa fokus utama dalam lagu ini adalah untuk mengekalkan kestabilan emosi.
“Saya perlu memberi penghayatan dan mood yang tepat agar penyampaiannya berkesan. Lebih Baik layak diberi peluang kerana melodi dan liriknya sangat sempurna. Saya berharap lagu ini diterima dengan baik dan dapat menghubungkan emosi pendengar, terutama buat mereka yang pernah mengalami situasi yang serupa,” ujarnya lagi.
Diinspirasikan daripada kenyataan bahawa cinta yang sejati hanya boleh terbentuk apabila kita membaiki diri, Shazee percaya Shiha ialah pilihan yang tepat untuk menyanyikan lagu ini.
“Shiha ialah seorang penyanyi yang berbakat, profesional, dan serba boleh. Dia memiliki feel yang bagus dan berjaya menjiwai watak dalam lagu. Shiha adalah antara yang terbaik kerana dia selalu membuat persiapan rapi sebelum masuk ke studio. Saya berharap Lebih Baik dapat sokongan orang ramai kerana lagu ini sememangnya luar biasa,” kata Shazee.
Dengarkan Lebih Baik nyanyian Shiha Zikir, yang kini menjadi runut bunyi (OST) untuk drama Wanita Milik Kaiden di slot Akasia TV3. Dapatkan lagu ini di iTunes atau strim terus melalui platform seperti Spotify dan YouTube Music!
Untuk mendapatkan maklumat terkini tentang Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Alternate Records & Talents di Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.




