Pengasas CNN, Ted Turner meninggal dunia

Pengasas CNN, Ted Turner meninggal dunia

Washington, Amerika Syarika: Ted Turner menubuhkan CNN pada 1980, merevolusikan cara Amerika dan dunia mendapatkan berita sebelum muncul sebagai antara tokoh perniagaan dan dermawan paling berpengaruh pada zamannya.

Seorang yang berani mengambil risiko, Turner yang meninggal dunia pada usia 87 tahun seperti diumumkan pada Rabu membantu membentuk semula industri televisyen pada penghujung abad ke-20.

Punca kematian bagaimanapun tidak dinyatakan.

Beliau turut dikenali menerusi urus niaga perniagaan berskala besar, pemilikan kelab sukan profesional, perkahwinan dengan pelakon Jane Fonda, kepimpinan pasukan pelayaran kompetitif serta komitmen terhadap kerja kebajikan dan alam sekitar.

Dilahirkan di Cincinnati, Ohio pada November 1938, Robert Edward “Ted” Turner III bersekolah di sekolah berasrama tentera di Tennessee sebelum melanjutkan pengajian di Brown University, namun dibuang sebelum menamatkan pengajian.

Turner mengambil alih perniagaan pengiklanan keluarganya selepas bapanya meninggal dunia akibat tekanan kewangan.

Selepas membeli beberapa stesen radio, beliau melangkah ke dunia televisyen dengan pembelian stesen di Atlanta pada 1970.

Sepuluh tahun kemudian, stesen itu menjadi asas kepada Turner Broadcasting System, yang membawa kepada pelancaran CNN sebagai rangkaian berita kabel 24 jam pertama.

CNN kemudiannya menjadi sumber utama berita ketika Perang Teluk 1990–1991 melalui liputan langsung meluas menggunakan teknologi satelit.

Kejayaan CNN mencetuskan kemunculan saluran berita 24 jam lain termasuk Fox News oleh pesaing lamanya Rupert Murdoch serta MSNBC dan pelbagai stesen di seluruh dunia.

Empayar medianya turut merangkumi saluran TBS, TNT, Turner Classic Movies dan Cartoon Network. Turner juga pernah cuba mengambil alih CBS serta memiliki studio MGM/UA sebelum menjualnya semula sambil mengekalkan hak ke atas sebahagian besar katalog filem.

Urus niaga mega

Pada 1996, Turner Broadcasting bergabung dengan Time Warner, menjadikan beliau naib pengerusi syarikat itu. Pada 2001, AOL mengambil alih Time Warner dalam urus niaga bernilai AS$165 bilion, antara penggabungan korporat terbesar dalam sejarah, namun akhirnya terpaksa dibatalkan selepas prestasi AOL merosot.

Tokoh sukan

Turner membeli pasukan besbol Atlanta Braves pada 1976 yang kemudian menjuarai World Series pada 1995. Beliau juga memiliki Atlanta Hawks (NBA) dan Atlanta Thrashers (NHL).

Dalam sukan lain, beliau mengetuai kapal layar Amerika Syarikat, Courageous, menjuarai America’s Cup 1977. Persaingannya dengan Murdoch turut tercetus dalam perlumbaan Sydney-Hobart pada 1983.

Turner juga mengasaskan Goodwill Games pada era 1980-an bagi meredakan ketegangan antarabangsa semasa Perang Dingin.

Dermawan dan alam sekitar

Selain dunia perniagaan, Turner dikenali kerana kerja kebajikan dan usaha pemuliharaan alam sekitar. Pada 1998, beliau menyumbang AS$1 bilion kepada United Nations untuk menubuhkan UN Foundation.

Yayasan Turner Foundation yang ditubuhkan pada 1990 telah menyalurkan ratusan juta dolar bagi usaha menangani perubahan iklim dan meningkatkan kualiti udara serta air.

Beliau juga melancarkan dana pemuliharaan spesies terancam serta projek eko-pelancongan Ted Turner Reserves pada 2015..

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top