am@hmetro.com.my
Putrajaya: Kes pembuangan kerja merekodkan jumlah tertinggi diselesaikan Mahkamah Perusahaan dengan 86.94 peratus bagi tempoh 2019 hingga 2023.
Dapatan itu hasil daripada Laporan Kajian Pengurusan Kes Di Mahkamah Perusahaan Malaysia (MPM) yang diterbitkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kategori kedua tertinggi ialah ketidakpatuhan ‘award’ (keputusan) dan perjanjian kolektif iaitu sebanyak 9.74 peratus.
Katanya, lima negeri mencatatkan peratusan penyelesaian kes tertinggi bagi tempoh terbabit iaitu Selangor (47.61 peratus), Kuala Lumpur (17.82 peratus), Johor (6.66 peratus), Pulau Pinang (5.81 peratus) dan Perak (4.63 peratus).
“Sebanyak 53,024 data kes diterima daripada pihak Mahkamah Perusahaan bagi tempoh lima tahun bermula dari tahun 2019 sehingga Disember 2023.
“Kes yang diliputi dalam kajian ini merangkumi data bagi kes selesai, kes belum selesai, penyelesaian melalui kaedah mediasi, perjanjian kolektif dan keputusan (award) yang dikeluarkan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran laporan berkenaan.
Mohd Uzir berkata, kajian itu juga mendapati bahawa pengadu lelaki adalah kumpulan pengadu tertinggi yang terbabit dalam kes pembuangan kerja iaitu sebanyak 72.99 peratus berbanding pengadu perempuan iaitu sebanyak 27.01 peratus.
Katanya, dari segi pembabitan kesatuan sekerja dan majikan pula, didapati bahawa sebanyak 77.78 peratus kesatuan sekerja terbabit dalam penyelesaian kes di Mahkamah Perusahaan manakala 22.22 peratus adalah daripada pihak majikan.
Beliau berkata, bagi perjanjian kolektif pula, industri pembuatan menjadi sektor tertinggi yang terbabit dalam penyelesaian kes iaitu sebanyak 59.34 peratus, diikuti pengangkutan dan penyimpanan (8.30 peratus) serta aktiviti kewangan dan insurans atau takaful (6.76 peratus).
“Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa sebanyak 96.71 peratus jenis permohonan perjanjian kolektif yang diterima di Mahkamah Perusahaan adalah yang diperbaharui manakala 3.29 peratus adalah perjanjian kolektif yang baharu,” katanya.
Katanya, hasil kajian itu turut mencadangkan lapan tumpuan strategik merangkumi 21 inisiatif dan 21 pelan tindakan khusus untuk pihak yang terbabit dalam pengurusan kes di Mahkamah Perusahaan.
Tumpuan strategik terhadap inisiatif itu merangkumi pemerkasaan pengurusan kes, meningkatkan kecekapan pengurusan Mahkamah Perusahaan, menyemak dan menambahbaik modul pendidikan buruh serta memperkasa pengurusan data sedia ada bagi perekodan data yang lebih efisien.
© New Straits Times Press (M) Bhd




