Farkhan mahu akhiri karier dengan rekod sempurna

Farkhan mahu akhiri karier dengan rekod sempurna

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas dua dekad membawa nama negara di pentas antarabangsa, petinju berpengalaman Muhamad Farkhan Mohd Haron nekad menutup tirai kariernya dengan bergaya, mempertahankan gelaran WBC Asia Bridgerweight Champion di Kejohanan Antarabangsa Tinju Johor (JIBC) 2025 pada 16 Februari ini.

Terkenal dengan gelaran ‘The Southern Tiger Haron’, Farkhan, 36, bakal berdepan lawan dari India, Jaskaran Singh, dengan misi mengekalkan rekod sempurnanya, 13 kemenangan tanpa kalah.

Menurutnya, paling penting sekarang ini adalah menjaga kestabilan emosi sebelum turun gelanggang.

“Memang benar, ‘api kemarahan’ penting untuk kemenangan, tetapi kita tak boleh terlalu dikuasai emosi. Perlu keseimbangan 50-50.

“Sebab itu, tiga hingga lima hari sebelum bertanding, saya tak keluar berjumpa sesiapa, termasuk keluarga, untuk menjaga fokus dan emosi,” katanya selepas sidang media JIBC 2025 di sini.

Walaupun mengakui kelebihan fizikal Jaskaran yang lebih muda dan tinggi, Farkhan yakin pengalaman serta pengorbanannya selama 24 tahun dalam arena tinju akan menjadi kelebihan utama.

“Jaskaran memang berbakat, tetapi saya sudah banyak melalui cabaran. Keyakinan saya terletak pada pengalaman, bukan sekadar fizikal,” ujarnya.

Farkhan mula menempa nama di pentas antarabangsa pada usia 16 tahun selepas meraih pingat perak di New Delhi, India.

Bermula dalam kategori lightweight, dia kemudiannya berpindah ke heavyweight dan cruiserweight sebelum mendominasi bridgerweight.

Mengidolakan Prince Naseem Hamed, Farkhan juga berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang sentiasa membantu kariernya sejak bergelar atlet kebangsaan hingga kini sebagai profesional.

“Bapa saya juga banyak memberi dorongan. Ketika umur 16 tahun, beliau meminta saya ke Indonesia bersendirian untuk bertanding. Pengalaman itu mengajar saya untuk berdikari,” katanya.

Lima perlawanan berprofil tinggi bakal berlangsung, dengan penyertaan lapan negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, India, Syria, Singapura, dan Afrika Selatan.

JIBC 2025 dijangka menjadi medan terakhir buat Farkhan sebelum bersara, namun dia tekad mengukir sejarah sekali lagi untuk mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top