Madha Gaja Raja ke panggung selepas 12 tahun

Madha Gaja Raja ke panggung selepas 12 tahun

Kuala Lumpur: Selepas lebih sedekad filem Tamil yang menjadi sebutan dan dinantikan iaitu Madha Gaja Raja kini menemui penonton di Malaysia.

Filem yang dihasilkan produksi Gemini Film Circuit menemui penonton di seluruh pawagam tanah air dan Singapura sejak 16 Januari lalu.

Filem aksi komedi ini menampilkan barisan pelakon ternama seperti Vishal, Anjali, Varalaxmi Sarathkumar, Santhanam, Sonu Sood dan ramai lagi.

Kerjasama antara MSK Cinemas dan Gemini Film Circuit memastikan tayangan filem ini jadi kenyataan selepas bertahun-tahun dalam pembangunan.

Kejayaan menduduki tempat pertama dalam senarai filem pecah panggung di India sejak ditayangkan 12 Januari lalu menjadi petanda baik bagi tayangannya di luar negara termasuk di beberapa negara Eropah, Asia Barat dan Asia Tenggara.

Pengarah MSK Cinemas Sdn Bhd, Saradha Sivalingam berkata, filem ini terus menarik perhatian penonton walaupun mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan.

“Filem ini menggabungkan elemen komedi yang membuatkan penonton ketawa dari awal hingga akhir.

“Walaupun penggambaran sudah lama selesai, ia tetap terasa segar,” kata pada Majlis Tayangan Perdana Madha Gaja Raja di sini, baru-baru ini.

Penerbit Gemini Film Circuit, Radhakrishnan pula berkata, kejayaan filem ini diterbitkan selepas pelbagai cabaran dihadapi sepanjang pembikinannya adalah suatu pencapaian membanggakan.

“Kami mengharungi pelbagai halangan seperti perubahan jadual pelakon termasuk beberapa isu teknikal lain. Begitupun, kami tetap berjaya menyiapkannya.

“Malah pihak kami memilih untuk menayangkan filem ketika musim perayaan Pongal, yang juga waktu sesuai untuk filem komedi ringan ditonton seisi keluarga,” katanya.

Menariknya, filem ini juga disediakan dengan sari kata Bahasa Malaysia, menjadikannya lebih mudah dinikmati oleh penonton Melayu di negara ini.

Filem ini berkisar kepada sekumpulan rakan lama yang bertemu semula di sebuah majlis perkahwinan dan tanpa diduga, peristiwa dramatik berlaku memaksa mereka bersatu untuk menyelesaikan masalah bersama.

Selain menguji kekuatan persahabatan mereka, ia juga memaparkan perjalanan emosi setiap individu dalam mengatasi cabaran peribadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top