Ameng Spring buat kejutan iringi persembahan Azeva

Ameng Spring buat kejutan iringi persembahan Azeva

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Shah Alam: Kemunculan penyanyi juga vokalis Spring, Ameng, 58, mengiringi persembahan anak perempuannya, Azeva Natassha, 25, sambil bermain gitar di pentas Talk To My Manager musim kedua (TTMM 2), di sini, malam ini menarik perhatian ramai.

Azeva yang diuruskan ibunya juga bekas isteri Ameng iaitu Datuk A Aida tampil menyanyikan lagu Sejiwa nyanyian bapanya dan difahamkan ia sudah didengarinya sejak kecil lagi.

Kelihatan agak terkejut melihat Ameng naik ke pentas, Azeva sambil mengawal vokalnya dalam nada sebak sempat memanggil papa sebaik bapanya berada di pentas dengan bermain gitar.

“Papa, terima kasih sebab datang malam ini ‘support’ Adik,” katanya ringkas dengan nada sebak dan perasaan sayu.

Sebelum ini, Ameng pernah dilihat bersama dengan Azeva menerusi siaran langsung di media sosial dan memberi kata-kata semangat kepada anaknya untuk membuat terbaik dalam persembahan di pentas TTMM 2.

Terdahulu, dalam TTMM musim pertama pada tahun lalu Ameng menyertai pertandingan mencungkil bakat di kalangan anak selebriti itu tampil bersama cahaya mata lelakinya, Wan Ammar Haikal, 19.

Selain A Aida dan anaknya Azeva, barisan pengurus dan artis lain yang bertanding di TTMM 2 ialah Adira Suhaimi bersama Anggrek, diikuti Ani Maiyuni dan Viviana serta Datuk Fazley Yaakob dan Fariedz.

Manakala, lima lagi peserta adalah Safura Yaacob dan Kim Khairi, Jamilul Hayat dan Hussain, Azad Jasmin dan Amarra Rose, Nana Mahazan dan Athea, Linda Jasmine dan Ratu serta Datuk Seri Vida dan Cik B.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top