am@hmetro.com.my
New York: Malaysia menegaskan kepentingan Myanmar memenuhi tanggungjawabnya sebagai anggota ASEAN serta melaksanakan Pemuafakatan Lima Perkara (5PC) bagi membantu menangani krisis yang berlarutan di negara itu.
Perkara itu antara pendirian yang disampaikan Malaysia dalam kunjungan hormat Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Mirjana Spoljaric ke atas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menurut nota pertemuan yang dikongsikan kepada media, Malaysia akan terus terbabit secara konstruktif bersama ASEAN dalam usaha menangani situasi di Myanmar.
“Perbincangan tertumpu kepada situasi kemanusiaan global yang semakin mencabar, termasuk perkembangan di Myanmar serta keperluan untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat terus disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” menurut kenyataan berkenaan.
Dalam pertemuan itu, Presiden ICRC turut memohon agar Malaysia diwakili oleh Perdana Menteri pada Persidangan Peringkat Tinggi Mengenai Kemanusiaan dalam Peperangan yang akan berlangsung di Jordan pada 7 Disember depan atas jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah II.
Menurut ICRC, penyertaan di peringkat ketua negara atau ketua kerajaan akan menyampaikan mesej yang kukuh mengenai komitmen masyarakat antarabangsa terhadap isu kemanusiaan.
Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan isu sistem senjata autonomi yang semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
“Dalam hal ini, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan segera untuk mewujudkan peraturan antarabangsa berkaitan sistem senjata autonomi, serta menyokong proses berkaitan yang sedang berlangsung di Geneva,” kata kenyataan itu.
Mohamad kini berada di New York bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81.
© New Straits Times Press (M) Bhd




