Saman RM190 juta: Saksi dedah maklumat siasatan kes bunuh Nurman Bakaratu bocor di Telegram 'Edisi Siasat'

Saman RM190 juta: Saksi dedah maklumat siasatan kes bunuh Nurman Bakaratu bocor di Telegram 'Edisi Siasat'

am@hmetro.com.my

Tawau: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu sebahagian maklumat siasatan kes pembunuhan Nurman Bakaratu didakwa bocor ke saluran Telegram ‘Edisi Siasat’ kira-kira empat hari selepas penangkapan tujuh bekas pegawai dan anggota Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) serta seorang orang awam pada Januari 2023.

Sarjan Fabian Anak Rungan, yang juga plaintif kedua dalam saman sivil RM190 juta itu berkata, kebocoran berkenaan menyebabkan kes itu tular dan mendapat liputan meluas media arus perdana kerana membabitkan anggota Bahagian Perisikan ESSCOM.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada laporan polis yang dibuat plaintif ketiga, Dennis Anak Enit, pada 9 September 2024, yang antara lain berkaitan dakwaan kebocoran maklumat siasatan sulit kes berkenaan ke saluran Telegram ‘Edisi Siasat’.

Fabian berkata, pendedahan maklumat ketika siasatan masih berjalan menyebabkan mereka berdepan persepsi negatif masyarakat serta mendakwa perkara itu menjejaskan reputasi dan kerjaya mereka.

Beliau turut merujuk kepada Arahan Ketua Polis Negara No 138 bertajuk ‘Garis Panduan Menangani Kebocoran Maklumat Siasatan Kes Menarik Perhatian’ bertarikh 4 Oktober 2019, yang menurutnya berkaitan pengendalian maklumat siasatan bagi kes berprofil tinggi.

Fabian mendakwa kebocoran maklumat itu menunjukkan kegagalan defendan menjalankan siasatan dengan integriti, namun dakwaan berkenaan dicabar dalam soal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Zetty Zurina Kamarudin.

Ketika disoal balas, Fabian bersetuju beliau bukan pembuat dokumen bagi muka surat antara 370 hingga 390 Enclosure 106 yang dirujuknya, selain mengakui beliau bukan pembuat artikel-artikel yang terkandung dalam dokumen berkenaan.

Beliau turut bersetuju bahawa tidak mengetahui siapa yang membuat artikel-artikel berkenaan.

Bagaimanapun, Fabian tidak bersetuju dengan cadangan defendan bukan pihak yang menerbitkan artikel-artikel berkenaan, walaupun beliau mengakui tiada nama defendan dinyatakan sebagai penerbit dalam artikel yang dirujuk.

Beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa kesimpulannya mengenai kebocoran maklumat itu adalah andaian yang dibuat bagi memihak kepada tuntutan plaintif.

Dalam pernyataan saksinya, Fabian berkata, beliau dan keluarganya menjadi sasaran kritikan awam akibat pendedahan berkenaan sehingga menyebabkan tekanan, kebimbangan, rasa malu dan kesan psikologi.

Beliau turut menegaskan tidak pernah memberi kebenaran atau persetujuan untuk maklumat siasatan berkaitan dirinya didedahkan kepada media atau orang awam.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos kemudian ditangguhkan dan Fabian dilepaskan sementara untuk dipanggil semula sebagai saksi.

Kes plaintif seterusnya dijadualkan pada 26 hingga 30 Oktober dan 16 hingga 20 November 2026, manakala kes defendan akan bermula pada 7 hingga 11 Disember 2026 serta 18 hingga 22 Januari 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top