Masih ada 19 mangsa ombak besar, air pasang di PPS Terengganu

Masih ada 19 mangsa ombak besar, air pasang di PPS Terengganu

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Terengganu tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Setakat 9 pagi, seramai 19 mangsa daripada enam keluarga yang terjejas akibat ombak besar dan air pasang masih berada di PPS di Kemaman dan Dungun.

Dua PPS yang masih aktif adalah Balairaya Kampung Geliga Pantai di Kemaman dan Balairaya JPKK Bandar Paka di Dungun.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memaklumkan, PPS Balairaya Kampung Geliga Pantai menempatkan lima mangsa membabitkan satu keluarga.

Di Dungun, PPSBalairaya JPKK Bandar Paka pula menjadi tempat berlindung 14 mangsa daripada lima keluarga.

Ketika ini angin kencang masih berlaku di kebanyakan tempat di Terengganu.

Sementara itu, hanya satu sungai direkodkan melepasi paras amaran, manakala satu lagi direkodkan melepasi paras waspada.

Berdasarkan data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Sungai Terengganu di Jambatan Angkat (F1), Kuala Terengganu kini melebihi paras amaran dengan bacaan 1.6 meter (m).

Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1) Hulu Terengganu (F1), Hulu Terengganu yang mencatatkan bacaan 19.19 m direkodkan melebihi paras waspada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top