am@hmetro.com.my
Ranau: Anak kepada seorang anggota polis ditemui lemas di Sungai Nopungan, Kampung Minihas, di sini, malam tadi.
Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu ditemui penduduk kampung, pada 8.05 malam.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, mangsa dikatakan keluar rumah seorang diri kira-kira 12.30 tengah hari dan disedari tidak pulang oleh bapanya pada 5.40 petang.
“Pencarian dilakukan dengan jarak rumah mangsa dan tempat kejadian kira-kira 500 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mursalin berkata, kedalaman sungai berkenaan kira-kira dua meter dan ketika pemeriksaan dilakukan, arus sungai seperti didapati seperti biasa namun terdapat pusaran air.
“Ketika itu belum dapat dipastikan sama ada mangsa mandi, namun penduduk kampung yang membantu pencarian kemudian menemui mangsa.
“Mangsa dibawa ke rumah keluarganya namun disahkan meninggal dunia oleh doktor Klinik Kesihatan Lohan, pada 9.10 malam,” katanya.
Difahamkan, mangsa adalah anak kepada anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




