norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Sharifah Husna, 32, enggan membuka ruang perbualan atau perbincangan berkaitan topik poligami bersama suaminya juga pelakon, Halim Radzi ketika mereka berada di rumah.
Sharifah Husna atau nama sebenarnya Sharifah Husna Syed Feizal berkata, baginya tidak ada keperluan untuk membicarakan perkara itu (poligami) yang bukan mudah diterima semua wanita.
“Saya memang tidak mahu beri ruang untuk berbual atau berbincang mengenai topik poligami di dalam rumah kami. Rasanya tak perlu pun dan cukuplah hanya jaga hubungan kami saja.
“Namun, saya yakin perancangan Tuhan itu adalah mengikut kemampuan seseorang. Tetapi macam yang saya cakap, tidak semua wanita mampu terima (poligami),” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Sharifah Husna selamat mendirikan rumah tangga dengan Halim Radzi pada 21 Oktober 2022 dalam majlis akad nikah di kediaman keluarganya di Kajang, Selangor.
Mengenai perkembangan karier lakonan pula, Sharifah Husna muncul membintangi drama Berbahagi Suami sebagai Aishah iaitu isteri kedua Dhani (lakonan Amar Baharin) arahan Uchee Fukada yang diinspirasi daripada sinetron Indonesia.
Mengulas wataknya, Sharifah Husna memaklumkan Aishah bermadu dengan Bella, isteri pertama Dhani (lakonan Siti Elizad) bukan disebabkan lelaki itu bertindak curang.
“Dhani berkahwin dengan Aishah sebab nak balas jasa kerana menjaganya selepas cedera kemalangan. Tetapi, perkahwinan itu memang tanpa pengetahuan Bella pada mulanya.
“Jalan cerita drama Berbahagi Suami ini bagus dan apa yang saya tahu watak Aishah juga tidak dikecam sebagai penyondol. Sebab, dia kahwin dengan Dhani kerana budi,” katanya.
Bagaimanapun Sharifah Husna berkata, sekiranya Aishah tetap dikecam oleh segelintir netizen terutama wanita yang menonton drama itu kerana marah, tak apalah sebab ia hak masing-masing untuk nak rasa apa.
Selain Sharifah Husna, Amar dan Siti Elizad, drama Berbahagi Suami turut dibintangi pelakon lain seperti
Nazrief Nazri, Amy Mastura, Amylea Azizan, Faizul Syaharin, Kuza Muzani, Wan Raja, Yusra Akma dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




