Marsha dedah suami perancang penting persembahan

Marsha dedah suami perancang penting persembahan

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Marsha Milan mendedahkan suaminya, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail memiliki peranan penting sebagai individu utama yang akan menyemak dan menilai segala konsep persembahan yang dirancang setiap kali menyertai pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL).

Menurut Marsha, suaminya turut mempunyai pengaruh besar dalam menentukan elemen terbaik untuk persembahannya, selain bertindak sebagai pengkritik bagi memastikan setiap persembahan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

“Dia mempunyai suara yang besar dalam setiap persiapan di AJL. Walaupun tiada kelibatnya di depan mata, tapi dia akan menyemak dan menilai setiap apa yang ingin saya tampilkan.

“Bukan hanya untuk AJL saja, malah dia juga memberikan pandangan peribadi sebagai pendengar biasa untuk setiap lagu baharu yang ingin dikeluarkan.

“Sejujurnya, untuk penganjuran AJL ke-39 kali ini, saya banyak melakukan perubahan kerana lagu Hening Rindu mempunyai elemen emosi yang sangat mendalam,” katanya ketika ditemui selepas program khas Mega Live di platform TikTok TV3 Malaysia, kelmarin.

Menurut Marsha, sebagai seorang penyanyi, dia seboleh-bolehnya tidak mahu bergantung kepada kewangan suaminya untuk melaksanakan setiap karya baharu.

“Saya sebolehnya tidak mahu menggunakan duit dia untuk setiap projek dalam karier seni saya.

Selagi saya boleh mempertahankan karya saya dengan cara saya sendiri, biarlah saya yang menguruskannya.

“Namun, suami sentiasa bertindak sebagai penyumbang idea. Saya tidak suka melibatkan dia dalam urusan kewangan kerana saya tidak mahu bergantung padanya.

“Ini kerana karier ini atas dasar minat saya sendiri, dan saya masih mahu meneruskannya. Selama ini, saya sudah diberi banyak keistimewaan, seperti peluang untuk terus menyanyi.

“Lagipun, saya mempunyai banyak sumber lain, termasuk berada di bawah pengurusan Alternate Records. Mereka banyak membantu dari sudut itu,” katanya.

Untuk rekod, Lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh antara 10 finalis yang bakal berentap di AJL39 pada 16 Februari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini.

Selain Hening Rindu, sembilan lagu lain yang  berjaya mara ke pentas AJL 39 adalah Sengaja nyanyian Amir Masdi ciptaan dan lirik Bunga Cantik dan Hang Nadim; Puas Sudah (Aina Abdul/Aina Abdul) dan Saksama (Akim & The Majistret/Akim & The Majistret & Bunga Cantik).

Turut bersaing Diam (Hael Husaini/Hael Husaini & Iqie Hugh/Hael Husaini & Iqie Hugh) dan Aura (Ernie Zakri/Ernie Zakri & John Jeeves/Ernie Zakri & John Jeeves).

Tidak ketinggalan, Bukan Lagi Kita (Nadeera Zaini/Hael Husaini & Iqie Hugh/Hael Husaini & Iqie Hugh) dan Pujaanku (Kugiran Masdo & Aisyah Aziz/Ali Sariah/Ali Sariah & Hedimoru).

Menambah cabaran, Risiko (Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique/Apipapol/Benzoloo, Ghidd, Isobahtos, Meerfly, Tuju & MK K-Clique) dan Terus Bersinar (Hafiz Suip/Mas Dewangga, Jova Devito & Datuk Arisz Abdul Rahman/Mas Dewangga & Jova Devito).

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top