Ekosistem lautan terima kesan buruk

Ekosistem lautan terima kesan buruk

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia berkemungkinan berdepan kerugian besar membabitkan populasi terumbu karang berikutan perairan negara berdepan suhu panas yang berpanjangan sejak dua tahun lalu.

Terumbu karang di negara ini mengalami kelunturan secara besar-besaran disebabkan peningkatan suhu permukaan laut susulan fenomena El Nino yang disifatkan terburuk sejak 20 tahun lalu.

Perkara itu disahkan Pakar Oseanografi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir yang berkata, faktor utama berlakunya kelunturan karang adalah peningkatan suhu.

Menurutnya, kelunturan besar-besaran ini membabitkan pelbagai spesies karang disebabkan kenaikan suhu air laut yang melebihi paras purata normal suhu tahunan dan dalam tempoh berpanjangan.

Katanya, kelunturan ialah tindak balas semula jadi karang terhadap suhu air laut hingga mengeluarkan alga menyebabkan batu karang menjadi putih.

Beliau yang juga Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) UMT berkata, kajian dijalankan pihaknya di hampir keseluruhan pulau di Terengganu dan Pahang mendapati 70 peratus terumbu karang mengalami kelunturan.

Mohd Fadzil berkata, kajian mendapati ia disebabkan peningkatan suhu air laut berlaku tanpa henti sejak pertengahan 2023 sehingga Julai lalu dan fenomena sama dikesan berlaku di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand berdasarkan laporan penyelidik mereka.

“Tinjauan dijalankan dari Mac sehingga Jun 2024 menunjukkan suhu lautan meningkat lebih tinggi daripada normal.

“Apabila suhu melangkaui paras normal, ia menyebabkan karang luntur dan jika peningkatan suhu berlaku dalam tempoh masa panjang, maka ia boleh menyebabkan kematian kepada terumbu karang.

“Proses ini membimbangkan terutama ketika berlaku El Nino di Malaysia baru-baru ini yang memberi kesan berterusan.

“Namun, kita tidak pasti sama ada terumbu karang terbabit sudah boleh pulih atau tidak walaupun terumbu karang yang luntur mempunyai potensi pulih sekiranya suhu lautan menurun.

“Jika penurunan berlaku tepat pada masanya, mungkin sebahagian terumbu karang selamat,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, kelunturan karang atau mati memberi implikasi kepada pelbagai industri terutama perikanan dan pelancongan.

Katanya, kesan utama adalah ekosistem lautan di kawasan terumbu karang yang menjadi tempat pembiakan ikan kerana apabila terjejas, ia menyebabkan ikan berkurangan sekali gus memberi impak kepada sektor perikanan.

“Terumbu karang penting sebagai penghadang atau penyelamat kawasan pantai kerana menghasilkan kawasan sedikit tinggi daripada paras normal menyebabkan ombak atau gelombang datang ke kawasan pantai akan menurun.

“Antara lain kesan kepada sektor pelancongan yang menjadi sumber ekonomi terbesar negara dan memberi sumber pekerjaan kepada sebahagian besar pekerja dalam negara.

“Tambah pula, kawasan pantai dan pulau di negara kita menjadi tarikan kepada pelancong. Jika terumbu karang mati, maka pelancong terutama penyelam tidak akan berminat untuk menjalankan aktiviti mereka di sini,” katanya.

Justeru, beliau berharap peralihan monsun dengan cuaca hujan dan mendung ketika ini akan membuatkan suhu permukaan laut menurun dan memulihkan semula batu karang yang luntur.

Menurutnya, apa yang dibimbangi adalah peralihan monsun berlaku dalam tempoh singkat menyebabkan karang tidak sempat pulih seterusnya mati.

“Apa kita lihat sekarang cuaca mendung agak lama tapi hujan tidak sebanyak dijangka namun masih beri penurunan suhu laut. Jadi bergantung kepada suhu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kebiasaannya berterusan sebelum kemarau pada April dan Mei,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top