ROM: Edin Dzeko meledak gol penyamaan untuk AS Roma dalam keputusan 1-1 menentang Ajax Amsterdam di sini, sebentar tadi dan mara ke separuh akhir Liga Europa dengan kemenangan agregat 3-2.
Kelab Itali terakhir yang tinggal dalam kejohanan Eropah musim ini itu akan bertemu Manchester United di separuh akhir.
Roma menang 2-1 pada suku akhir pertama di Amsterdam, tetapi kelab Belanda itu menguasai aksi timbal balik di Stadio Olimpico dengan mendahului perlawanan selepas rehat menerusi Brian Brobbey.
Dzeko menolak masuk bola ketika permainan berbaki 18 minit bagi memastikan kemaraan Roma ke kelompok empat terakhir kejohanan Eropah buat kali kedua dalam empat musim selepas Liga Juara-Juara 2018.
Harapan Roma untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan bergantung sepenuhnya kepada kejayaan di Liga Europa selepas hanya menduduki tangga ketujuh Serie A.
Jaringan Brobbey adalah gol ketiga pemain 19 tahun itu dalam kejohanan sejak Ajax menyertai Liga Europa di peringkat kalah mati. Brobbey hampir meledak gol keduanya 10 minit kemudian tetapi dinafikan penjaga gol Roma.
Roma menyamakan kedudukan selepas Dzeko mendapat hantaran Riccardo Calafiori untuk menewaskan Maarten Stekelenburg.
Ajax, juara Eropah empat kali gagal mencari gol kemenangan bagi mengheret permainan ke masa tambahan.
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd



