MAHB kendali 20 destinasi antarabangsa baharu

MAHB kendali 20 destinasi antarabangsa baharu

hazwanfaisal@nstp.com.my

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menerima 20 destinasi antarabangsa baharu dan tambahan 80 penerbangan domestik yang dijangka akan merangsang perjalanan udara tahun ini.

Destinasi baharu itu turut membabitkan lapangan terbang di Turki miliknya, Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (ISG).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, berkata antara destinasi baharu itu termasuk Hamburg, Basel, Zurich, Sarajevo, Copenhagen, Lyon dan Hannover untuk penerbangan dari ISG dengan kekerapan sehingga 25 kali seminggu.

Katanya, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula, syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines mengaktifkan semula destinasi seperti London dan Jakarta.

“Pada masa sama, ia juga menambah 80 penerbangan tambahan untuk destinasi domestiknya yang meningkatkan jumlah kekerapan penerbangan mingguan domestik di KLIA sebanyak 26.7 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shukrie, berkata walaupun Malaysia dan Turki masih dikenakan sekatan perjalanan, MAHB tetap optimistik memandangkan permintaan untuk perjalanan udara masih ada berdasarkan tawaran penerbangan baharu berterusan oleh syarikat penerbangan.

Katanya, MAHB akan terus meningkatkan perkhidmatan untuk bersedia dengan kehadiran semula pelancong memandangkan dunia beransur pulih dari pandemik COVID-19.

“Pada suku pertama tahun ini, KLIA terus unggul dalam penanda aras lapangan terbang global, Quality Service Airport (ASQ), dan mencapai skor awal 4.99 daripada 5.00, mengatasi skor 4.98 yang dicapai pada 2020.

“Di samping itu, kami juga meningkatkan standard keselamatan dan kesihatan melalui program Akreditasi Kesihatan Lapangan terbang global, di mana ISG adalah lapangan terbang pertama dalam kumpulan yang disahkan oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) bulan lalu.

“Enam lagi lapangan terbang antarabangsa kami termasuk KLIA dijangka akan diperakui menjelang akhir suku kedua ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukrie berkata, memandangkan sempadan Malaysia masih ditutup sehingga kini, penerbangan asing di KLIA seperti British Airways (BA) terpaksa menutup sementara penerbangan penumpang untuk laluan LON-KUL.

“Walaupun begitu, syarikat penerbangan itu memutuskan untuk mengekalkan kehadirannya di Malaysia dengan memperkenalkan perkhidmatan kargo baharu untuk laluan sama.

“Rakan penerbangan kami terus melangkah maju dengan perkhidmatan mereka dan berkembang dengan permintaan norma baharu.

“Ini termasuk Raya Airways, syarikat penerbangan kargo tempatan yang baru-baru ini mengembangkan angkatan pesawatnya dengan Boeing 767-200F baharu untuk meningkatkan kapasiti, frekuensi dan hubungan kerana ledakan sektor e-dagang semasa pandemik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top