Cinta Sufian dengan Rania bertaut kembali

Cinta Sufian dengan Rania bertaut kembali

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Puchong: Penyanyi, Sufian Suhaimi, 33, mengakui kembali menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya, Rania Al Sadat.

Sufian ketika ditemui di sidang media pelancaran lagu baharu duet bersama Sarah Suhairi, Dengan Lafaznya berkata, dia menerima baik setiap doa untuknya menamatkan zaman bujang.

“Ya, kami sudah kembali bersama. Status sekarang dia kekasih saya. Tak berani nak cakap bila berbaik tapi nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan baik-baik buat kami.

“Insya-Allah kalau jodoh sudah sampai saya akan berkahwin,” katanya.

Bagaimanapun, Sufian belum menetapkan sebarang tarikh tetapi akan terus berkahwin tanpa bertunang.

“Mungkin selepas ini saya terus berkahwin tiada majlis tunang. Tapi tak tahu lagi tahun ini atau bila, tapi Insya-Allah doakan saya.

“Memang ada rancangan untuk berkahwin sebab sudah tiada perkara lain saya nak tunggu, kalau saya dan dia sudah bersedia kami tak tunggu lama,” katanya.

Ditanya mengenai kehadiran orang ketiga dalam hubungan mereka, Sufian menafikannya.

“Tiada orang ketiga ketika kami berpisah. Saya rasa komunikasi adalah kunci bagi sesebuah hubungan. Kita kena berkomunikasi daripada sekecil-kecil perkara ke sebesar-besar perkara,” katanya.

Terdahulu, hubungan Sufian dan Rania tamat selepas wanita itu memulangkan cincin risik pada April tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top