Bahagia hanya 50 hari, Khairil terlalu rindu

Bahagia hanya 50 hari, Khairil terlalu rindu

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hanya sempat menikmati kebahagiaan rumah tangga selama 50 hari sebelum kehilangan isteri tersayang dalam kemalangan tragis di Kampung Banggol Petai, Kelantan, tiga bulan lalu.

Mohamad Khairil Akmal Md Rahim, 22, dari Kuala Krai, Kelantan, berkata, sehingga kini dia masih sukar menerima hakikat pemergian isterinya, Siti Nurlieyana Azieka Rosli, 23.

Pengusaha kedai potong kereta itu berkata, kejadian berlaku pada jam 1 pagi, 10 Februari lalu ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar bersiar-siar di Kota Bharu.

“Saya cuba mengelak motosikal sebelum kereta kami berpusing dan terbabas.

“Saya sendiri masih tidak pasti sama ada kereta saya melanggar kenderaan atau dilanggar kenderaan lain kerana ketika itu ada tiga kereta dan sebuah motosikal,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Perkongsian lelaki itu mengenai isterinya di TikTok mengundang simpati netizen yang rata-rata meninggalkan komen supaya dia sentiasa kuat semangat untuk meneruskan kehidupan.

Mohd Khairil berkata, kejadian berlaku di jalan yang gelap namun tidak hujan.

Katanya, sebaik kemalangan berlaku dia terus keluar dari kereta untuk menyelamatkan isterinya yang tersepit di tempat duduk penumpang.

“Keadaan isteri ketika itu sudah parah dan memerlukan bantuan bomba untuk mengeluarkan dia.

“Saya peluk dia dan ajar dia mengucap, tapi masa itu dia sudah tidak bergerak,” katanya sebak.

Lebih menyayat hati, Mohd Khairil berkata, kira-kira 10 minit sebelum kejadian, isterinya seolah-olah memberi petanda akan pergi buat selama-lamanya.

“Dia tiba-tiba cakap mahu kasih sayang saya secukupnya sebab dia rasa macam nak pergi.

“Dia juga pesan kalau dia sudah tiada nanti, dia mahu saya selalu muat naik gambar dia di media sosial seperti suami orang lain,” katanya.

Mengimbas kembali, Mohd Khairil berkata, mereka berkenalan menerusi media sosial hampir dua tahun lalu sebelum mendirikan rumah tangga pada 19 Disember tahun lalu.

Katanya, tarikh pernikahan mereka sebenarnya dirancang pada Februari 2026, namun arwah meminta supaya dipercepatkan kepada Disember tahun lalu.

Menurutnya, arwah juga beberapa kali memuat naik status di media sosial yang seolah-olah memberi bayangan dia akan pergi meninggalkannya.

“Status terakhir dia tulis dia cuma mahu suami dia panjang umur, sihat selalu dan cinta kami kekal sampai syurga.

“Bila saya baca semula semua itu selepas dia pergi, memang terasa macam dia sudah tahu,” katanya.

Mohd Khairil berkata, kenangan paling sukar dilupakan adalah ucapan hari lahir diberikan Allahyarham tiga hari sebelum wanita itu meninggal dunia.

“Buat pertama kali arwah memanggil saya dengan panggilan ‘daddy’ kerana kami dalam perancangan mahu memiliki cahaya mata.

“Saya sempat beli alat ujian kehamilan, tapi sampai sekarang saya tak tahu keputusan sebenar sama ada isteri hamil atau tidak,” katanya.

Mohd Khairil berkata, sepanjang 40 hari pertama pemergian isterinya, hampir setiap hari dia memandu dari Kuala Krai ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Chap, Bachok untuk menziarahi pusara arwah.

“Ada masa saya pergi jam 9 malam, ada masa jam 10 malam seorang diri sebab terlalu rindu.

“Buat masa ini saya memilih untuk meneruskan hidup bersendirian dan menyerahkan soal jodoh kepada keluarga serta ketentuan Allah.

“Kalau keluarga terima, saya terimalah. Tapi kalau nak cari sendiri, mungkin tidak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top