Kuala Lumpur : Public Health Malaysia (PHM) menzahirkan penghargaan terhadap beberapa selebriti tempatan yang dilihat konsisten tidak mempromosikan produk vape menerusi media sosial mahupun platform komersial.
Menerusi hantaran di Threads, PHM memetik nama beberapa artis popular yang dipercayai tidak pernah terbabit dalam promosi produk berkenaan.
Dalam hantaran sama, PHM turut berkongsi artikel sebuah akhbar tempatan yang memuji tindakan Fattah kerana tidak pernah mempromosikan vape walaupun berstatus selebriti popular.
“Selain Fattah Amin, Fahrin Ahmad, Hun Haqeem dan Kamal Adli juga antara selebriti yang tidak pernah mempromosikan produk vape.
“Menolak tawaran bernilai ribuan ringgit bukan keputusan mudah, namun mereka tetap berpegang pada prinsip dan tanggungjawab sebagai ikon masyarakat,” tulis PHM.
Pada masa sama, PHM berharap pendirian itu dapat dikekalkan serta dijadikan contoh oleh pempengaruh dan selebriti lain, khususnya dalam memilih bentuk kerjasama komersial berkaitan produk kesihatan.
“Harap kekal sampai bila-bila dan dapat dicontohi pempengaruh lain,” katanya.
Sebelum ini, PHM pernah menegur tindakan Zul Ariffin yang memuat naik gambar dirinya merokok di media sosial.
PHM berpandangan tindakan sedemikian dikhuatiri memberi gambaran seolah-olah amalan merokok adalah sesuatu yang normal dan boleh diterima masyarakat, sekali gus berisiko menjadi promosi tidak langsung terhadap tabiat itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




