am@hmetro.com.my
Bagan Serai: “Jika pelaku atau pihak sekolah datang untuk selesaikan kes ini secara baik, walaupun ditawarkan sejumlah pampasan, saya tetap tolak. Biar polis siasat.”
Demikian kata Shahmina Mohd Azim, 39, ibu kepada Amirul Akil Mohd I’zzat Emir, 12, yang didakwa ditampar seorang guru lelaki di sebuah sekolah rendah di Bagan Serai.
Dakwanya, kesan daripada tindakan guru berusia 30 tahun itu, Amirul Akil yang juga satu-satunya wakil Kerian dan pelapis perenang negara, kini mengalami gegaran koklea dan sering sakit kepala, telinga berdengung, pening, muntah dan hidung berdarah.
“Malah dia mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk ke Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Sea kerana saranan doktor pakar yang mengatakan anak tidak boleh mengikuti latihan renang berikutan terdedah dengan pelbagai risiko.
“Menurut doktor, kecederaan anak bukan ringan dan mengambil masa empat hingga lima bulan untuk sembuh atau tidak boleh pulih sepenuhnya,” katanya pada sidang media di sebuah resort, di sini, hari ini.
Tambahnya, dia kini terpaksa berulang-alik hampir setiap hari dari Bagan Serai ke Taiping sejauh 35 kilometer bagi mendapatkan rawatan untuk anak.
Berkaitan tindakan lanjut sama ada mahu melantik peguam, katanya, dia masih berbincang dengan keluarga.
Pada 10 Disember 2024, ahli keluarga kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis berkaitan kes itu sebelum menariknya semula pada keesokan harinya berikutan tidak mahu memanjangkan kes berkenaan.
Namun, pada 29 Disember, ahli keluarga sekali lagi tampil membuat laporan polis dan mahu perkara itu disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Juna Yusoff pada kenyataan memaklumkan, kes berkenaan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dan ia disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
